
KUALA TERENGGANU: Kajian bersama yang dijalankan oleh institusi pengajian tinggi tempatan dan Jabatan Perikanan Malaysia menunjukkan bahawa tukun-tukun tiruan di perairan Terengganu mencatatkan purata kepadatan ikan tertinggi di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr Azman Ibrahim, hasil kajian menunjukkan kepadatan ikan di kawasan tukun Terengganu mengatasi negeri-negeri jiran seperti Kelantan, Pahang dan Johor Timur dengan kelebihan sekitar 75 peratus.
“Kejayaan ini membuktikan keberkesanan strategi pelabuhan tukun yang dirancang secara sistematik dan berterusan. Ia juga mencerminkan impak positif kepada ekosistem laut serta sumber perikanan negeri ini,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau, hari ini.
Tambah beliau, sebagai lanjutan kepada usaha tersebut, kerajaan negeri merancang untuk melabuhkan lagi 100 unit tukun tiruan konkrit berbentuk kuboid sepanjang tahun 2025, melibatkan semua daerah berpantai di Terengganu.
Beliau berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada pelan besar mewujudkan ‘Garisan Tukun’ sepanjang 245 kilometer dari Kemaman hingga ke Besut, dengan sasaran satu kelompok tukun bagi setiap satu kilometer garis pantai.
“Sekarang ini terdapat lebih 1,600 unit tukun yang telah dilabuhkan di jajaran Pantai Terengganu. Tukun tiruan ada dua kategori iaitu tukun rekreasi dan tukun konservasi.
“Tukun rekreasi bermaksud tukun yang dilabuhkan di luar kawasan Taman Laut dan terbuka untuk nelayan dan pemancing rekreasi. Tukun konservasi dilabuhkan di kawasan Taman Laut bagi tujuan pembiakan hidupan laut dan tiada aktiviti penangkapan yang dibenarkan.
“Rasionalnya, kita perlu ada suatu kawasan yang digazetkan sebagai zon pembiakan ikan tanpa gangguan bagi terus memperkayakan sumber perikanan,” katanya.
Terdahulu, Kerajaan Negeri Terengganu bercadang meningkatkan jumlah tukun tiruan yang dilabuhkan kepada 140 unit pada tahun ini, berbanding 100 unit pada tahun 2024. – HARAKAHDAILY 7/4/2025




















