Politik simplistik jejas Persekutuan Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Permainan politik murah yang mengaitkan kemajuan atau kemunduran sesebuah negeri semata-mata dengan prestasi parti politik tertentu memberi kesan negatif kepada kesatuan Persekutuan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategik & Integriti Terengganu (TSIS), Prof Madya Dr Mohd Hanif Yaacob berkata, ketika pembentukan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia, negeri-negeri menyerahkan kira-kira 80 peratus kuasa dan hasil kepada Kerajaan Persekutuan, manakala hanya 20 peratus kekal di peringkat negeri.

Sebagai balasan jelasnya, Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab membangunkan negeri secara adil dalam pelbagai sektor seperti infrastruktur, pelaburan, pendidikan, kesihatan, keselamatan, pengangkutan dan lain-lain.

“Maksudnya, jika berlaku jurang yang besar dari segi kemajuan dan kemunduran negeri-negeri (anak) di bawah sebuah Persekutuan (keluarga), ia petanda kelemahan pengagihan kekayaan dan pembangunan di bawah Kerajaan Pusat (bapa) yang di tangannya kuasa dan hasil yang diperah daripada ‘anak-anak’nya,” katanya. 

- Advertisement -

Sistem Malaysia terlalu berpusat

Mohd Hanif menjelaskan bahawa sistem Persekutuan Malaysia adalah antara yang paling berpusat di dunia dari segi kawalan hasil dan kuasa. 

“Contohnya Australia, negeri-negeri di dalamnya boleh mengutip hasil melalui cukai jalan, dan di Canada pula cukai korporat turut dikutip oleh negeri-negeri.

“Namun, di Malaysia, negeri-negeri hanya dibenarkan mengutip hasil cukai yang rendah dan terhad kepada tanah, sumber alam dan kerajaan tempatan sahaja,” jelasnya. 

Disebabkan itu katanya, perbelanjaan semua negeri di Malaysia secara purata lebih tinggi daripada hasil cukai yang dikutip sendiri, menjadikan mereka bergantung kepada bantuan Kerajaan Persekutuan, termasuk negeri-negeri kaya seperti Selangor dan Pulau Pinang. 

“Tinggal lagi, mahu dipolitikkan ataupun tidak sahaja,” katanya.

Agihan peruntukan tidak seimbang

Mohd Hanif turut menegaskan bahawa pengagihan peruntukan Kerajaan Persekutuan tidak dilakukan secara adil dan sering dipengaruhi oleh kepentingan politik. 

“Malah, data-data menunjukkan negeri-negeri kaya dan tinggi KDNK terus menerima peruntukan terbesar, manakala negeri-negeri miskin sebaliknya sehingga melebarkan jurang perbezaan,” katanya. 

Beliau menambah bahawa negeri-negeri yang maju sejak zaman penjajah, seperti Selangor dan Pulau Pinang, terus mendapat manfaat terbesar daripada agihan Persekutuan, sementara negeri lain, khususnya yang miskin, semakin terpinggir. 

“Malah apabila digabungkan dengan faktor bias politik dalam agihan, jurang pembangunan semakin buruk,” ujarnya.

Cadangan penyelesaian: Reformasi fiskal

Bagi mengatasi ketidakseimbangan itu, Mohd Hanif mencadangkan pelaksanaan reformasi fiskal yang lebih bersifat penyamaan horizontal (horizontal equalization), di mana Kerajaan Persekutuan menurunkan lebih banyak kuasa kutipan hasil kepada negeri. 

“Pada masa yang sama meningkatkan proses audit dan integriti agar perbelanjaan yang diuruskan negeri lebih cekap dan sampai secara maksimum kepada rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri lebih memahami keperluan rakyat masing-masing, selari dengan prinsip dalam sains politik bahawa ‘kerajaan terbaik adalah yang paling dekat dengan rakyat’.

Selain itu katanya, kelemahan dalam sistem Persekutuan, seperti isu perjanjian royalti minyak Terengganu, perlu diperbaiki secara perundangan bagi mengembalikan kepercayaan terhadap sistem itu dan mengelakkan ia terus menjadi alat politik dendam. 

Henti retorik politik murahan

Dr Mohd Hanif menegaskan bahawa jika isu pembangunan negeri terus dipolitikkan secara simplistik, ia boleh merosakkan falsafah pembentukan Persekutuan Malaysia. 

“Jika berterusan dijadikan alat politik murahan negeri mundur vs negeri kaya berpunca daripada ketidakcekapan atau kepandaian parti politik semata-mata, sedangkan tanggungjawab utama bermula di Persekutuan ditambah pula negeri-negeri itu maju sejak zaman penjajahan British.

“Dan wujud kelemahan struktural sistem Persekutuan, ia berisiko memberi kesan negatif kepada falsafah pembentukan Persekutuan Malaysia yang kita cintai ini,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 27/3/2025

- Advertisement -