
KOTA BHARU: Sebanyak 280 pek makanan sahur telah diberikan kepada petugas barisan hadapan yang bertugas di bandar raya ini sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan mereka.
Program ini anjuran oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu bersama Ahli Parlimennya Datuk Seri Takiyuddin Hassan, sempena bulan Ramadan.
“Inilah masa untuk kita menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang terus setia menjalankan amanah, terutama dalam bulan mulia ini.
“Sumbangan kecil seperti juadah sahur ini adalah simbol keprihatinan kami terhadap jasa mereka,” kata Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS.
Pek makanan diagihkan kepada pengawal keselamatan, polis, petugas hospital, bomba, Tenaga Nasional Bhd dan Agensi Pertahanan Awam.
“Walaupun mereka bertugas sepanjang masa tanpa mengenal waktu, keikhlasan mereka dalam berkhidmat kepada masyarakat amat dihargai,” tambahnya.
Turut serta ialah ADUN Bunut Payong, Shaari Mat Yaman bersama 18 kakitangan dari Pusat Khidmat DUN.
Program ini diakhiri di Balai Bomba Kota Darulnaim dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, dengan penyampaian juadah sahur sebagai tanda penghargaan kepada petugas.
“Semoga usaha kecil ini memberikan semangat kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi, dan menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk sama-sama menghargai pengorbanan mereka,” ujar beliau lagi. – HARAKAHDAILY 27/3/2025













