Kampung Jelempok ceria dengan pelita panjut

- Advertisement -

ARAU: Inisiatif anak muda Kampung Jelempok menghidupkan kembali tradisi menyalakan pelita panjut berjaya mencetuskan suasana meriah menjelang Aidilfitri, sekali gus menarik perhatian ramai terhadap warisan budaya ini.

- Advertisement -

Menerusi Projek Pelita Raya@Aidilfitri, lebih 2,000 pelita dipasang sepanjang 1.5 kilometer di kampung berkenaan, menjadikan ia lokasi pertama di Perlis yang mengembalikan keunikan panjut secara besar-besaran.

Pengerusi Jawatankuasa Belia Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim berkata, usaha ini patut dicontohi kerana bukan sahaja memelihara budaya tradisional, tetapi juga mengeratkan perpaduan masyarakat setempat.

“Ini bukti bahawa anak muda masih menghargai warisan lama dan sanggup berusaha untuk mengekalkan keunikan budaya kita. Saya berharap tradisi ini dapat diteruskan setiap tahun,” katanya ketika merasmikan program itu di sini malam tadi.

Beliau turut mencadangkan agar program berkenaan dijadikan sebagai pertandingan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan.

Majlis tersebut dihadiri lebih 500 penduduk yang teruja menyaksikan keindahan cahaya pelita panjut serta persembahan bunga api, menjadikan suasana di Kampung Jelempok penuh keceriaan.

Sementara itu, program berkenaan turut menyaksikan penganjuran sesi iftar santai di tapak projek Pelita Raya kelmarin, dengan lebih 40 penduduk berkumpul berbuka puasa bersama, mengeratkan lagi ukhuwah dalam kalangan masyarakat. – HARAKAHDAILY 27/3/2025

- Advertisement -