
ALOR SETAR: Keceriaan jelas terpancar pada wajah 50 anak yatim yang menerima sumbangan baju dan duit raya daripada Ahli Parlimen Jerlun, Dr Abdul Ghani Ahmad, sempena menyambut ketibaan Syawal dan merebut keberkatan Ramadan.
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Jerlun bersama Jakel Alor Setar mengadakan program tajaan baju raya buat mereka yang tidak berkemampuan.
Program bermula seawal jam 9 pagi itu dengan anak yatim menaiki dua buah bas yang disediakan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah dari SRITI Al-Fateh Jerlun ke Jakel Alor Setar.
Dr Abdul Ghani berkata, suatu keseronokan melihat keceriaan anak-anak yatim ketika memilih sendiri baju kesukaan mereka sendiri.
“Harapan saya semoga mereka berjaya pada suatu hari nanti dan dapat melakukan perkara yang sama kepada orang lain untuk membantu mereka yang dalam kesusahan.
“Terima kasih kepada Jakel kerana sudi menaja pakaian buat anak-anak yatim dalam Parlimen Jerlun buat tahun kedua berturut-turut. Kita doakan semoga Jakel terus dilipatkan gandakan rezeki,” katanya.

Turut hadir dalam majlis penyerahan baju raya itu ialah Pengarah Urusan Jakel cawangan Alor Setar, Zainol Saad. Selain baju raya, Dr Abdul Ghani menyampaikan duit raya kepada anak yatim.
Sementara itu Zainol berkata, seramai 800 anak yatim seluruh negeri Kedah menerima tajaan berbentuk zakat dari Jakel dan meminta mendoakan supaya syarikat sentiasa dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan. – HARAKAHDAILY 23/3/2025




















