Perang Ahzab melakar sejarah serta paparan ibroh sepanjang zaman

- Advertisement -

RAMADHAN pantas memecut ke garisan penamat, berlari semahunya tanpa menoleh sedetik pun ke belakang sedang kita masih terkial-kial untuk menikmati kelazatan al Quran dan qiam Ramadhan. Sebahagian besar ummat memasuki Ramadhan tanpa menyedari akan bulan jihad Ini bukan bulan pesta pora juadah makanan. Malangnya, apabila masjid dan surau tanpa tazkirah dan pengisian ilmu atas alasan mengejar rakaat solat tarawih, maka kesannya ummat ini menjadi semakin jauh mengenali tasawwur Islam termasuk tajuk tentang siasah Islam dilarang untuk disyarahkan. Mimbar masjid menjadi jurucakap penguasa yang pragmatis liberal dan tidak bersahabat dengan tasawwur Islam sebenar. Bahkan apa yang dikumandangkan setiap kali menjelang lebaran pun tidak difahami oleh sebahagian besar umat Islam, umat yang terpisah daripada soal jihad mempertahankan agama.

Dalam sepi dan suram ekonomi negara dibawa kerajaan baru ini, Ramadhan tetap disambut meriah di kota dan di desa. Berhujung Ramadhan, kita akan terus memperingati peristiwa Ahzab, tanpa jemu dan lelah. Memperingati kemenangan di zaman ar Rasul dan generasi al Quran yang sarat dengan ibroh yang berlaku pada syawal tahun lima hijriah. 

Menyambut hari lebaran bukanlah sekadar pesta pora, riuh geger menyempurnakan ibadah puasa selama sebulan. Laungan takbir hari lebaran sebenarnya mengingatkan kita akan tugasan memenangkan agama Allah di atas muka bumi ini. Perlawanan antara iman dan kufur, hak dan batil yang akan berterusan sehingga hari kiamat, terus bergulir masa yang menjadi saksi akan deenullah ini mempunyai pembela dan penyokongnya.

Kita memperingati perang Ahzab yang monumental di zaman ar Rasul yang mulia. Cerminan ibroh peristiwa ini berlaku di sepanjang zaman, pemuafakatan musuh mengepung orang yang beriman. Di zaman ini kelompok Islam dikepungi oleh pakatan Ahzab moden seperti kelompok pragmatis sekular, evangelist Kristian, munafik yang bertopengkan jemaah Islam, kelompok Islam inklusif, neo muktazilah dan permuafakatan Ahzab moden di seluruh belahan dunia. 

- Advertisement -

Peristiwa perang Ahzab ini berlaku kerana kebencian dan permusuhan golongan Yahudi yang tidak senang dengan kebangkitan pengaruh dakwah Islam yang berpangkalan di Madinah. Golongan Yahudi daripada kelompok Bani Nadhir yang tinggal di Khaibar ini telah menghasut kafir Mekah yang dipimpin oleh Abu Suffian supaya mengadakan usaha yang terancang dan berpakat dengan pakatan kafir yang lain untuk menyerang orang Islam di Madinah. 

Kempen jahat mereka ini telah didedahkan oleh Allah SWT dalam Al-Quran, surah An-Nisa’, ayat 51 hingga 55 yg bermaksud:

“Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang diberi bahagian dari al-Kitab? Mereka percaya kepada Jibt dan Thagut, dan mengatakan kepada orang-orang kafir (musyrik Makkah), bahawa mereka itu lebih benar jalannya dari orang-orang yang beriman.” (An-Nisa’:51).

Tentera Musyrikin begitu berang apabila mereka terhalang oleh parit dan kubu kerana taktik ini tidak pernah digunakan di Semenanjung Arab. Mereka telah melancarkan serangan anak panah bertubi-tubi dari luar kota Madinah manakala beberapa orang panglima mereka telah berjaya menyusup masuk di sebelah parit, iaitu Ikrimah bin Abu Jahal dan Amru bin Abdul Wud.

Peristiwa selanjutnya ialah telah berlaku cabar-mencabar di antara pahlawan Musyrikin tersebut dengan para sahabat. Saidina Ali KWJ telah bertarung (Al-Mubarazah) dengan Amru bin Abdul Wud yang disaksikan oleh sahabat-sahabat yg lain. Saidina Ali memang terkenal sebagai seorang anak muda pemberani yang sangat dikasihi oleh Nabi SAW, apatah lagi beliau mendapat tarbiyah secara langsung daripada Baginda Nabi SAW.

Saidina Ali telah berjaya membunuh Amru, menyebabkan Ikrimah bin Abu Jahal melarikan diri dan kegembiraan sahabat-sahabat dimanifestasikan melalui laungan takbir mereka. Dalam peristiwa perang Ahzab yang berlaku di musim sejuk dan kekurangan makanan, orang-orang Yahudi Bani Quraizah telah melakukan pengkhianatan di mana mereka sepatutnya bersama-sama mempunyai tanggungjawab kolektif mempertahankan bumi Madinah daripada serangan luar sepertimana yang disepakati bersama dalam Sahifah Madinah.

Pertembungan semakin sengit yang menyaksikan enam orang Sahabat telah gugur sebagai syuhada’, manakala Musyrikin kehilangan 10 orang tentera. Dalam pertempuran ini, Sahabat kanan yang sangat Nabi SAW kasihi juga merupakan pemimpin kaum Ansar, iaitu Sa’ad bin Mua’dz telah cedera parah terkena panah pihak musuh.

Allah SWT Yang Maha Perkasa lagi Maha Pembalas Dendam telah membantu para pejuangNya yang ikhlas dalam peristiwa perang Ahzab iaitu dengan memberikan beberapa bentuk pertolongan, antaranya sebagaimana yang disebut dalam Al-Quran, surah al-Ahzab ayat 9 bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah nikmat Allah yang dikurniakan kepada kamu ketika kamu diserang oleh tentera-tentera Ahzab, lalu Kami hantarkan kepada mereka ribut yang kencang dan tentera-tentera (malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan sesungguhnya Allah sentiasa melihat segala yang kamu lakukan.”.

Orang Yahudi yang dipimpin oleh Salam bin Abi Al-Haqiq ini telah berjaya menyakinkan Abu Suffian mengenai buah kemenangan yang akan mereka kecapi jika permuafakatan kuffar ini berjaya dilaksanakan. 

Beberapa kabilah Arab yang masih kufur telah berjaya disatukan dalam satu barisan, di antaranya adalah kabilah Bani Ghatfan dan kabilah Bani Murrah. Jumlah kekuatan mereka ialah seramai 10,000 orang dan mereka dipimpin oleh Abu Suffian yang sebelum ini telah berjaya mengalahkan tentera Islam dalam peristiwa Peperangan Uhud yang berlaku pada tahun 3 Hijrah.

Nabi SAW telah mendapat maklumat tentang permuafakatan golongan kuffar ini lantas telah mengadakan mesyuarat di Madinah dengan Sahabat-sahabat yang lain bagi menghadapi peristiwa perang besar ini. Dalam mesyuarat itu, Nabi SAW tertarik dengan cadangan yang diberikan oleh seorang sahabat yang berbangsa Parsi, iaitu Salman yang telah mencadangkan supaya parit digali di keliling kota Madinah. Ini bagi menghalang serangan tentera berkuda yang ramai di pihak musuh.

Rasulullah SAW telah mengatur persiapan dan pertahanan tentera Islam dengan membahagikan Sahabat-sahabat kepada beberapa buah kumpulan iaitu setiap sepuluh orang menggali 40 hasta. Dalam operasi ini, Nabi SAW bertungkus-lumus dengan Sahabat-sahabat yang lain menggali parit dengan merangsang semangat Sahabat-sahabat yang lain dengan ganjaran pahala jihad. 

Dalam operasi ini juga, Allah SWT memperlihatkan beberapa mukjizat yang dikurniakan kepada Nabi SAW, seperti mampu memecahkan batu yg sangat pejal yang tidak mampu dipecahkan Sahabat-sahabat yang lain. Usaha membina parit ini diteruskan dengan bersungguh-sungguh kerana mengejar masa, bimbang takut musuh tiba sebelum parit disiapkan namun dengan keikhlasan dan kesungguhan para Mujahidin, parit tersebut berjaya disiapkan sebelum kedatangan 10,000 orang tentera musuh.

Dalam pertembungan yang bersejarah ini, dirakamkan bahawa tentera Islam hanyalah sekitar 3,000 orang dan mereka tidak mendapat kerjasama daripada orang-orang munafik yang dipimpin oleh Abdullah bin Ubai serta berlaku pengkhianatan daripada orang Yahudi Bani Quraizah.

Dalam menghadapi kedatangan jumlah musuh yang ramai ini, para sahabat memperlihatkan tahap moral dan keimanan yang begitu tinggi, sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Ahzab ayat 22, bermaksud: “Apabila orang-orang yang beriman itu melihat tentera Ahzab, maka berkatalah mereka, inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah dan RasulNya kepada kita dan benarlah Allah dan RasulNya dan demikian itu tidaklah menambahkan kepada mereka melainkan keimanan dan kesejahteraan”.

Peristiwa perang Ahzab diingati oleh umat Islam di sepanjang zaman, bukan hanya menjadi dendangan pagi Syawal dengan nada melankolik, namun jauh daripada itu, kisah ini adalah pengajaran kepada umat Islam. Bangkitlah berjuang membela Islam daripada kepungan pakatan Ahzab moden, ulangan peristiwa yang turut berlaku di akhir zaman. Lihat sahaja dentuman bom pembantaian di Gaza Ramadhan ini, musuh mengukuh bersatu dan kita berpencar merobek kesatuan. Hizbullah menyerang Syria, Zionis mengambil peluang melanggar gencatan senjata dan kita tidak pernah mengambil pengajaran! 

Di seluruh dunia ini ancaman kepada Islam tetap berlangsung; musuh tidak pernah berhenti seketika untuk berehat, pemuafakatan yang didokongi kuffar dan kelompok munafik yang sentiasa mengintai peluang mengepung gerakan Islam yang berjuang menegakkan agama ini. 

Hadamkan peristiwa Ahzab dalam sambutan Eidul Fitri kita, jangan sekadar laungan yang tidak bermakna! 

DR. RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 23/3/2025

- Advertisement -