
KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis terus memperkukuh hala tuju pembangunan negeri melalui pelbagai inisiatif strategik bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta kemajuan ekonomi yang mampan.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, kerajaan memberi komitmen penuh dalam merealisasikan slogan ‘Perlisku Bestari Berkat Lestari’ sebagai usaha membentuk Perlis yang lebih sejahtera dan berdaya huni.
Menurutnya, pembangunan spatial perlu digerakkan secara holistik dengan menekankan aspek ekonomi berdaya saing serta persekitaran mampan dan pintar.
“Melalui Rancangan Struktur Negeri Perlis 2040 (Kajian Semula) yang sedang dilaksanakan oleh PLANMalaysia, negeri ini disasarkan menjadi sebuah negeri progresif, sejahtera, dan berpendapatan tinggi.
“Fokus utama ialah meningkatkan KDNK negeri serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi rakyat,” katanya dalam Perhimpunan Bulanan di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, semalam.
Beliau turut menyeru semua jabatan dan agensi kerajaan untuk memainkan peranan lebih proaktif dalam menyumbangkan idea serta melibatkan rakyat dalam perancangan pembangunan negeri.
“Pendekatan ‘people-centric’ dan konsep bandar pintar yang berasaskan ekosistem nilai bersama juga diberi penekanan bagi menjamin pembangunan yang lebih inklusif,” katanya.
‘Follow Through Exercise’ pacu kemajuan negeri
Dalam memastikan perancangan negeri dilaksanakan dengan lebih berkesan, Mohd Shukri menekankan pendekatan ‘follow through exercise’ yang memberi tumpuan kepada pemain industri dan pihak berkepentingan.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu, ia bagi memastikan pelaksanaan sesuatu perancangan memberi impak nyata kepada kemajuan negeri.
“Kerajaan negeri akan mempergiat promosi produk tempatan menerusi pelan komunikasi yang lebih efektif selain menyediakan khidmat nasihat serta kepakaran secara telus kepada pemegang taruh dan pemain industri,” ujarnya.
Tambah beliau, perubahan minda dan pengurusan perubahan (change management) dalam kalangan pemimpin organisasi amat penting untuk memastikan kejayaan inisiatif ini.
Beliau turut menyatakan bahawa projek Chuping Valley berpotensi menjadi pemacu utama kemajuan ekonomi negeri dengan kerjasama erat antara sektor kerajaan dan swasta.
Aidilfitri dan bantuan khas penjawat awam
Menjelang sambutan Aidilfitri, beliau mengingatkan rakyat agar menitikberatkan aspek keselamatan, terutama di jalan raya, keselamatan harta benda, serta kesihatan diri dan keluarga.
“Peningkatan jumlah kenderaan boleh meningkatkan risiko kemalangan. Oleh itu, saya menyeru semua agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan mengutamakan keselamatan ketika memandu,” katanya.
Selain itu, beliau turut menasihatkan agar masyarakat menjaga pemakanan sepanjang musim perayaan bagi memastikan kesihatan dan kecergasan tubuh badan berada pada tahap terbaik.
Sebagai penghargaan kepada penjawat awam atas dedikasi mereka, kerajaan negeri mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Tahun 2025 sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 15 dan ke bawah, termasuk pegawai serta kakitangan lantikan kontrak.
“Bayaran ini dijadualkan dibuat pada akhir Mac 2025 bagi membantu mereka membuat persiapan sambutan Aidilfitri,” ujarnya lagi. –
HARAKAHDAILY 22/3/2025




















