
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu akan mengkaji cadangan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk menambah empat kerusi khas bagi perwakilan wanita dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri menghargai pandangan yang diberikan dan akan menilai cadangan tersebut berdasarkan pelbagai aspek sebelum membuat sebarang keputusan.
“Kita akan kaji tentang cadangan mereka dan bergantung kepada hasil kajian serta pertimbangan yang dibuat. Jika perlu ada pindaan, kita akan buat. Jika tidak perlu, kita tidak akan buat, jadi bergantung kepada bagaimana pendapat selepas kita buat kajian nanti.
“Apa pun, kita ucapkan terima kasih kepada kalangan NGO dan pihak luar yang memberi pandangan. Pandangan ini akan dinilai mengikut keperluan semasa, kedudukan struktur masyarakat, budaya dan sebagainya yang ada di negeri Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Apresiasi Kontinjen SUKMA dan PARA SUKMA Terengganu 2024, di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, kajian yang dilakukan oleh NGO tersebut melihat kepada jumlah wakil wanita yang hampir tiada dalam DUN Terengganu.
Bagaimanapun, beliau berkata, isu itu perlu diteliti secara menyeluruh dan tidak hanya berdasarkan angka semata-mata.
“Saya difahamkan kajian yang dilakukan oleh pihak NGO ini melihat dari segi nombor bilangan ada satu daripada 32 (DUN), ada kosong daripada 8 orang (Parlimen), sedangkan kalau kita nak tengok secara keseluruhannya, ianya perlu dilihat dalam pelbagai aspek.
“Melihat, menilai kedudukan masyarakat di sini dan permintaan daripada kalangan wanita sendiri dan ini yang kita kena lihat daripada A sampai Z bukan sekadar melihat nombor kita kurang ataupun lebih semata-mata.
“(Kemudian) bandingkan dengan negeri lain dengan struktur demografi masyarakat di negeri negeri lain tak sama. Jadi ada keperluan untuk kita kaji secara holistik perkara ini,” jelasnya.
Ditanya mengenai kekurangan wakil wanita dalam DUN bermakna hak wanita tidak diutamakan, beliau berkata, kerajaan negeri tetap menjaga kepentingan semua golongan.
“Kita jaga dan semua (wakil) lelaki juga sebenarnya mereka rapat dengan wanita dan saya tidak menafikan bahawa ada kepentingan untuk mempunyai Exco wanita secara khusus dan pertambahan ADUN wanita, tapi kita kena lihat dalam banyak aspek harus dipertimbangkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/3/2025




















