RM1.08 juta insentif kepada atlet SUKMA, Para SUKMA

Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu peruntuk sebanyak RM1.08 juta sebagai insentif kepada atlet yang berjaya membawa pulang pingat dalam SUKMA dan Para SUKMA 2024.

- Advertisement -

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, insentif yang diberikan sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan dan ketekunan para atlet.

Beliau berkata, setiap atlet yang memenangi pingat emas akan menerima RM3,000, pingat perak RM2,000 dan pingat gangsa RM1,000. 

“Sebagaimana yang kita maklum, kita berada ditangga yang kelima secara keseluruhan pada kali ini dengan memperolehi 41 emas, 36 perak dan 47 gangsa di belakang tuan rumah Sarawak, Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang. Tentunya ini bukan pencapaian yang menjadi sasaran kita.

“Tetapi saya percaya semua para atlet bersama dengan jurulatih masing-masing, pengurus pasukan dan bapa-bapa angkat telah mencuba pendekatan, cara dan perjuangan yang seboleh mungkin untuk mencapai kemenangan dalam acara masing-masing.

“Adat bertanding, ada menang ada kalah, paling penting tidak ada di antara kita yang merasa lemah semangat, tidak ada di antara kita merasa ‘down’, terutama ketika kita melakukan persiapan, kita bangkit kembali untuk bertarung dalam edisi SUKMA di Selangor nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Kontinjen SUKMA dan PARA SUKMA Terengganu 2024, di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini hari ini. 

Untuk rekod, Terengganu menamatkan saingan SUKMA 2024 dengan 41 emas, 36 perak, dan 47 gangsa, manakala kontinjen Para SUKMA berada di tempat kesembilan dengan 10 emas, 19 perak dan 15 gangsa. 

Beberapa sukan menunjukkan prestasi cemerlang, dengan pasukan judo muncul penyumbang emas terbanyak (6 emas), diikuti berbasikal, pencak silat, dan memanah dengan masing-masing 5 emas, selain sukan tempur secara keseluruhan menyumbang 18 emas kepada kontinjen negeri.

Dalam majlis tersebut, Ahmad Samsuri turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat, termasuk jurulatih, pengurus pasukan, persatuan sukan serta bapa angkat kontinjen yang telah memberi sokongan sepanjang persiapan dan kejohanan berlangsung.

Beliau mengakui cabaran dihadapi oleh kontinjen, termasuk faktor logistik yang memberi tekanan kepada atlet dan pasukan sokongan.

“Memang kita tak nafikan bahawa antara kekangan dan halangan kepada kita yang saya percaya negeri lain pun sama juga berdepan dengan kekangan sama ialah logistik yang agak memberi tekanan psikologi kepada kita semua jika bertanding di tempat yang agak jauh daripada Semenanjung.

“Tapi saya percaya segala kelemahan-kelemahan yang kita hadapi sebelum ini kita jadikannya sebagai satu pengajaran dan kita rangka strategi baru, berusaha kembali untuk kita kembali ke puncak kejuaraan SUKMA,” katanya.

Beliau berkata, sukan Para SUKMA juga menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding edisi 2022, dengan Terengganu naik ke tangga kesembilan daripada 15 kontinjen bertanding.

“Tahniah saya ucapkan. Tahniah dan syabas juga kepada Jabatan Belia dan Sukan Negeri yang diketuai oleh Pengarahnya sendiri, Asmadi Mohamad serta semua para pegawai, persatuan, atlet dan semua pihak yang terlibat dalam Para SUKMA kali ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/3/2025

- Advertisement -