Cuti raya diumum selepas dapat perkenan Sultan

Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Cuti sempena Hari Raya Aidilfitri di Terengganu dijangka diumumkan minggu hadapan selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri telah membuat keputusan berhubung cuti tersebut, namun perlu terlebih dahulu mendapat perkenan Sultan sebelum sebarang pengumuman rasmi dibuat.

“Kita sudah buat keputusan, tapi saya akan menghadap Tuanku untuk mendapatkan perkenan. Tak boleh nak maklum lagi, tetapi insya-Allah dalam waktu terdekat selepas menghadap, saya akan umumkan, mungkin minggu depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Apresiasi Kontinjen SUKMA dan Para SUKMA Terengganu 2024, di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Mengulas mengenai dana raya, Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman itu berkata, perkara tersebut juga akan dimaklumkan kemudian.

“Semua sedia maklum bahawa kewangan kerajaan negeri dipegang oleh Putrajaya. Jadi, kita kena mohon dahulu duit kita di sana dan setelah dana diterima, barulah kita boleh menyalurkannya,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 19/3/2025

- Advertisement -