
KOTA BHARU: Kelantan bakal menganjurkan Pertandingan Seni Kecantikan Kambing Boer dan Kalahari 2025 sebagai usaha mempergiatkan lagi industri penternakan kambing berkualiti di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Dato’ Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail berkata, pertandingan anjuran Persatuan Breeder Kalahari Boer Kelantan itu dijadualkan berlangsung pada 3 Mei ini di Pantai Tujuh, Tumpat.
Menurutnya, pogram berkenaan diputuskan dalam satu kunjungan oleh wakil persatuan tersebut ke pejabatnya kelmarin yang diketuai Ketua Penyelaras Program, Muhammad Najib.
Menurut beliau, pertandingan ini bukan sahaja bertujuan mempromosi baka kambing berkualiti, malah memberi pendedahan kepada masyarakat tentang potensi besar industri ternakan kambing, sama ada sebagai sumber daging mahupun pembiakan baka unggul.
“Program ini akan meningkatkan kesedaran terhadap ciri-ciri baka kambing yang berkualiti, selain membuka ruang kepada penternak untuk berkongsi ilmu dan pengalaman,” katanya.
Sehubungan itu, kerajaan negeri mengalu-alukan penganjuran program seperti ini sebagai satu galakan kepada komuniti penternak dan belia untuk turut serta dalam bidang agroternakan secara lebih serius dan profesional.
“Insya-Allah, dengan usaha kecil dan sokongan semua pihak, industri penternakan kambing baka dapat terus diperkasa di Kelantan,” katanya lagi.
Jelasnya, penyertaan bagi pertandingan ini dibuka kepada penternak dari seluruh negara.
Beliau bersyukur kerana program tersebut telah mendapat sambutan awal yang sangat positif termasuk daripada penternak di Semenanjung dan negara jiran Thailand.
“Sambutan daripada penternak amat menggalakkan. Ini menunjukkan industri ini berpotensi untuk diperluaskan dan diperhebatkan di peringkat serantau,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/3/2025




















