Kutipan zakat MAIK melonjak ke RM296 juta

Petunjuk keyakinan tinggi rakyat Kelantan

Pembayar zakat menyampaikan bakul makanan dan sumbangan hari raya kepada asnaf sambil disaksikan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang juga Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz (baju hitam)
- Advertisement -

KOTA BHARU: Keyakinan tinggi rakyat Kelantan terhadap sistem pengurusan zakat oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah menyumbang kepada kejayaan kutipan zakat sebanyak RM296 juta pada tahun 2024, meningkat 15 peratus berbanding tahun sebelumnya.

- Advertisement -

Yang DiPertua MAIK, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pencapaian ini membuktikan kepercayaan yang semakin kukuh terhadap kecekapan MAIK dalam mengurus dan mengagihkan zakat kepada golongan yang berhak.

“Alhamdulillah, berkat kepercayaan para pembayar zakat, MAIK turut mencatat sejarah dalam pengagihan zakat dengan jumlah RM269.417 juta disalurkan kepada asnaf, meningkat berbanding RM233.627 juta pada tahun sebelumnya,” katanya ketika berucap dalam Majlis Iftar dan Apresiasi Pembayar Zakat MAIK 2024 di sini, malam kelmarin.

Beliau menegaskan bahawa MAIK terus komited untuk mengagihkan zakat secara lebih efektif agar manfaatnya sampai kepada seramai mungkin penerima.

Dalam majlis itu, beliau turut mengumumkan kejayaan MAIK menerima Anugerah Zakat Kebangsaan 2024 dalam kategori Inovasi Zakat Terbaik (Agihan) menerusi sistem e-Agihan yang mempercepatkan proses bantuan serta mengurangkan penggunaan kertas.

“Sistem pendigitalan ini bukan sahaja memudahkan permohonan, semakan dan kelulusan bantuan secara dalam talian, tetapi juga memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih pantas kepada mereka yang memerlukan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mengajak masyarakat untuk terus menyokong usaha MAIK dengan melaporkan kes-kes kemiskinan atau musibah agar bantuan dapat diberikan segera.

“Kami mengalu-alukan kerjasama semua pihak, termasuk imam mukim dan masjid, dalam mengenal pasti golongan yang memerlukan supaya tiada yang terpinggir daripada bantuan zakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/3/2025

- Advertisement -