
ALLAH menurunkan suhuf-suhuf kepada Nabi Sith, Nabi Ibrahim. Kemudian Dia menurunkan Zabur kepada Nabi Daud. Nabi Musa menerima Taurat di Gunung Tursina sebagai pedoman kepada umatnya. Injil yang asli, diberikan Allah kepada Nabi Isa yang kemudiannya dipesong oleh pendeta-pendeta mereka, menurut nafsu dan kemahuan mereka.
Allah mahu menyempurnakan agamanya dengan kemuliaan. Apabila al-Quran diturun, maka al-Quran dimuliakan oleh Allah dan menggantikan semua suhuf dan kitab-kitab yang telah diberikan kepada nabi dan rasul terdahulu.
Kemuliaan al-Quran itu, dinikmati juga oleh malam yang mana ia diturunkan, menjadi malam termulia. Ia diturunkan Allah pada hari Jumaat, menjadikan Jumaat sebagai hari mulia dan berkat. Kemuliaan al-Quran terus tersebar kepada Ramadan kerana bulan turunnya al-Quran ialah pada bulan itu.
Jibril menjadi ketua para malaikat menjadi mulia kerana dia menjadi pembawa al-Quran kepada para anbiya di bumi. Nabi Muhammad menjadi insan termulia setelah diturunkan al-Quran kepada baginda. Umat Islam berbanding umat terdahulu pula menjadi umat termulia kerana al-Quran menjadi kitab kepada mereka.
Bumi Makkah dan Madinah juga menerima kemuliaan kerana di sanalah ayat-ayat al-Quran diturunkan dan diamalkan. Kemudian negara-negara yang diperintah mengikut kehendak al-Quran menjadi mulia di mata dunia kerana Allah memuliakannya.
Oleh itu apa lagi yang kita mahu, kemuliaan bagaimanakah yang dicari apabila kita tidak mahu membaca al-Quran? Bagaimana hebatnya formula mentadbir negara, ia sudah diberikan contoh oleh Allah, negara yang menjadikan al-Quran sebagai pegangan adalah negara yang berjaya dan dimuliakan.
Marilah kita mengambil peluang yang masih ada ini untuk menjadikan kemuliaan al-Quran itu, turut kita perolehi dengan membaca al-Quran agar kita dimuliakan Allah. Ia sudah terbukti, ia sudah dibuktikan, al-Quran itu memuliakan kembali sesiapa dan apa sahaja yang memuliakannya.
MOHD NASIR ABDULLAH
11 Mac 2025 – HARAKAHDAILY 11/3/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











