OKU penglihatan berpotensi tinggi jadi hafiz al-Quran

- Advertisement -

KOTA BHARU: Golongan orang kelainan upaya (OKU) penglihatan mempunyai kelebihan luar biasa dalam menghafal al-Quran kerana mereka tidak terdedah kepada ‘dosa mata’.

- Advertisement -

Kerana itu kata Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Dato’ Ustaz Mohd Nassuruddin Daud golongan berkenaan lebih mudah fokus dalam pembelajaran.

Beliau berkata, Allah telah mengurniakan keistimewaan kepada golongan terbabit dengan daya ingatan yang lebih kuat, membolehkan mereka menghafal al-Quran hanya dengan mendengar sekali sahaja.

“Mereka tidak mempunyai dosa mata, justeru hati lebih bersih dan sebab itu, mereka lebih mudah menghafal al-Quran berbanding orang celik. Ada di antara mereka yang mendengar bacaan sekali sahaja dan sudah boleh mengingatinya,” katanya.

Beliau berucap demikian sempena Majlis Mahabbah Ramadan bersama 600 orang kurang upaya di Pusat Tarbiah Islamiah (PUTIK), Pengkalan Chepa, di sini petang semalam.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Kelantan, Rohani Ibrahim, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan lain-lain pimpinan.

Menurutnya lagi, dalam masyarakat Arab khususnya di Mesir, hafalan al-Quran dijadikan syarat wajib bagi mereka yang ingin mendalami ilmu syariah.

Tambahnya, ia berbeza dengan masyarakat Melayu yang masih belum menekankan aspek itu secara menyeluruh.

“Masyarakat kita masih kurang pendedahan tentang perkara ini. Di Mesir, seseorang yang ingin belajar syariah wajib hafal al-Quran terlebih dahulu, tetapi di sini, kita belum sampai ke tahap itu,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri mahu melihat lebih ramai golongan OKU penglihatan di Kelantan menjadi hafiz al-Quran dengan menyediakan lebih banyak inisiatif dan peluang pembelajaran kepada mereka.

Menurutnya,  kerajaan negeri akan berusaha memperkasakan pendidikan agama dalam kalangan OKU penglihatan bagi memastikan mereka mendapat manfaat yang sama seperti individu normal.

“Kita tidak mahu mereka dipinggirkan dalam arus pendidikan Islam. Mereka sepatutnya menjadi hafiz Quran dan kita perlu membantu mereka ke arah itu,” katanya.

Sementara itu Rohani ketika berucap memberitahu, berdasarkan statistik sehingga 31 Disember 2024, Kelantan merekodkan seramai 4,527 individu dalam kategori OKU penglihatan daripada keseluruhan 52,968 OKU yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat di negeri ini.

Menurutnya, usaha kerajaan negeri untuk memperkasakan pendidikan agama di kalangan mereka diharap dapat meningkatkan lagi jumlah hafiz al-Quran dalam golongan istimewa ini. – HARAKAHDAILY 11/3/2025

- Advertisement -