
KOTA BHARU: Bazar Ramadan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini berkonsepkan ‘food festival’ atau pesta makanan dengan persekitaran dan suasana yang lebih baik.
Perkara itu diakui oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri, Zamakhshari Muhammad ketika melakukan lawatan ke lokasi tersebut baru-baru ini.
Malah katanya lagi, beberapa peniaga yang ditemui beliau turut meluahkan rasa syukur dengan perniagaan selain pengunjung juga menyatakan selesa dengan suasana bazar itu.
“Bazar Ramadan sebelum ini dikelola Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berkonsepkan Bazar Ramadan Pasar Tani, (tetapi) Bazar Ramadan kali ini lebih kepada ‘food fair’.
“Di bawah pengurusan baru, dia menyediakan persekitaran baik, khemah agak besar dan luas, orang lalu lalang pun tidak bersesak dan khemah dia ni ada peneduh panas,” katanya.
Bercakap selepas mengadakan lawatan ke bazar tersebut menurutnya, beliau meninjau situasi sebenar yang berlaku, selepas tular di media sosial mendakwa kadar sewa tapak tidak munasabah.
Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Stadium Kelantan itu juga menjelaskan, beliau mahu melihat sendiri suasana bazar di bawah pengurusan baru iaitu Tun Event Management.
Pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV merupakan tapak yang dimiliki Perbadanan Stadium pernah disewakan oleh agensi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu.
“Bila FAMA sewa dia bagi kepada orang lain, maknanya kepada peniaga-peniaga, cuma Januari lalu FAMA kata tidak mahu sewa dah tahun ini, maka Tun Event Management tawar untuk ambil tapak ini.
“Jadi hari ini kita tengoklah dia bawah pengurusan Tun Event Management, sebab itu kita lihat ada kelainan berbeza tahun ini dan tahun lepas, itu sebab saya mari,” katanya.
Sebelum ini tular di media sosial berhubung aduan peniaga yang mendakwa harga bagi setiap tapak bagi bazar ramadan di lokasi itu meningkatkan daripada RM500 sehingga RM1,350. – HARAKAHDAILY 11/3/2025











