
KOTA BHARU: Seramai 53,000 orang kelainan upaya (OKU) di Kelantan telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga Disember tahun lalu.
Rohani Ibrahim berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan kesedaran dalam kalangan golongan OKU untuk mendaftar dan menyertai pelbagai inisiatif kebajikan serta sokongan yang disediakan kerajaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri itu berkata, berbanding sebelum ini mereka malu untuk mendaftarkan diri, namun kini keadaan semakin berubah.
“Mereka yang berdaftar ini dikategorikan dalam tujuh kumpulan iaitu OKU penglihatan, pendengaran, pertuturan, fizikal, pembelajaran, mental dan pelbagai,” katanya.
Menurut beliau lagi, kerajaan negeri sentiasa berusaha menyediakan pelbagai bantuan dan kemudahan kepada golongan ini, termasuk bantuan segera, pendidikan, perumahan, pembangunan, pertanian serta kursus keusahawanan.
“Pendaftaran mereka dilakukan melalui penyelaras pembangunan OKU peringkat Parlimen, penghulu dan wakil rakyat,” katanya kepada media selepas Program Berbuka Puasa OKU Mahabbah di Dewan Pusat Tarbiyah Islamiah, PUTIK Pengkalan Chepa, semalam.
Rohani menegaskan kerajaan negeri komited memastikan kebajikan dan kesejahteraan OKU terus terbela serta diberikan tumpuan terbaik oleh kerajaan.
Beliau turut memaklumkan, setiap tahun kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM20 juta bagi kebajikan golongan miskin, OKU dan anak yatim.
Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dan seramai 600 peserta OKU hadir pada majlis itu. – HARAKAHDAILY 11/3/2025











