
KUALA TERENGGANU: Terengganu Incorporated (TI) Sdn Bhd terus memperkukuh tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dengan memperuntukkan RM8 juta bagi pembayaran zakat tahun ini, termasuk sumbangan untuk pendidikan dan kebajikan rakyat.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TI, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, berkata syarikat bukan sahaja fokus kepada keuntungan tetapi juga memastikan manfaat yang diperoleh dikembalikan kepada masyarakat.
“Kita bukan hanya mengejar keuntungan, tetapi juga memastikan sebahagian besar daripadanya dikembalikan kepada rakyat melalui program sosial dan pembangunan negeri,” katanya ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Penerima Biasiswa YT-TI Young Talent Scholarship Programme 2024 di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat dan Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato’ Nara Setia Dato’ Zulkifli Ali serta Pegawai Kewangan Negeri; Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham.
Beliau berkata, daripada jumlah zakat yang diperuntukkan, RM1 juta akan disalurkan kepada biasiswa pendidikan, manakala RM2 juta lagi diperuntukkan khusus untuk biasiswa bagi tahun 2025 dan 2026.
“Kami sedar tanggungjawab kami bukan hanya sebagai entiti perniagaan tetapi juga sebagai penyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negeri.
“Inisiatif biasiswa ini adalah salah satu cara kami membalas semula kepada masyarakat,” ujarnya menambah TI turut meletakkan sasaran pendapatan sebanyak RM2.2 bilion bagi tahun 2025, meningkat RM400 juta berbanding tahun sebelumnya.
Syarikat pelaburan milik kerajaan negeri itu meletakkan sasaran keuntungan selepas cukai sebanyak RM150 juta bagi tahun ini. – HARAKAHDAILY 27/2/2025




















