Adakah strategi pupuk perpaduan rujuk Penyata Razak?

Dr Halimah Ali
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Adakah strategi yang dirangka oleh Kementerian Perpaduan Negara dalam usaha memupuk perpaduan merujuk kepada Penyata Razak 1956,” soal Dr Halimah Ali (PN-Kapar).

- Advertisement -

Ujarnya, Penyata Razak yang dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran 1957 telah menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan dan bahasa pengantar di sekolah bagi mengeratkan hubungan antara kaum Melayu, Cina dan India di Tanah Melayu.

“Adakah kementerian bersedia mengadakan sesi libat urus terbuka untuk mendapatkan pandangan daripada semua pihak, termasuk NGO dan aktivis, bagi mengenal pasti cabaran sebenar dalam usaha menyatukan masyarakat?” soalnya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Anak Dagang berkata, dalam jawapannya tidak menyatakan secara jelas sama ada kementerian merujuk kepada dokumen tersebut.

Beliau hanya menegaskan bahawa Bahasa Melayu telah termaktub dalam Perlembagaan sebagai bahasa utama negara.

“Apa yang dicadangkan oleh Yang Berhormat saya terima dengan terbuka. Kita belum bincang secara mendalam, tetapi kita boleh mengadakan satu perbincangan terbuka bagi mengenal pasti isu dan keperluan sebenar dalam usaha memperkukuh perpaduan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/2/2025

- Advertisement -