
ADA SATU program yang sangat baik sedang berjalan di Terengganu. Namun di sebalik kebaikan yang ada di dalamnya, najis juga dicari orang. Seolah-olah kelompok mereka ini sememangnya dilahirkan untuk menyebarkan keburukan dan mengajak manusia membenci kebaikan.
Terengganu Hijab Day adalah satu program yang mengajak wanita-wanita beragama Islam yang belum menutup aurat supaya menutup aurat mereka. Bagi yang sudah menutup aurat pula, diberikan panduan supaya menyempurnakan tutupan mereka jika belum sempurna. Tetapi yang diserang ialah penggunaan bahasa Inggeris untuk program ini.
Sedangkan program ini adalah kesinambungan program World Hijab Day yang turut dilaksanakan di negara-negara lain seluruh dunia. Maka bertebaranlah kutukan-kutukan pembenci kebaikan terhadap program kesedaran agama ini.
Tidak mengapa, ia sekadar gigitan semut, ia tidak mengganggu, biarkanlah mereka. Apa yang ingin disampaikan di sini ialah kesungguhan, konsistensi PAS dalam berdakwah untuk kesedaran umat sangat panjang dan tinggi kesabarannya. Sehingga umat mendapat kesedaran akan keperluan memenuhi kehendak syariat.
Jika diimbau kembali pada sekitar lewat 70-an, hijab adalah sesuatu yang amat pelik, ditakuti dan dipandang serong kepada si pemakainya. Pelbagai gelaran negatif dan jahat yang sengaja diberikan kepada orang yang mengenakan pakaian yang Islam wajibkan itu.
Hantu Kum-Kum jika berpurdah, kepalanya botak sebab itu mahu menutup rambut mereka, juga dikenali sebagai orang dakwah yang mana ini semua penyebab si pemakai dijauhi. Ia kekal sehingga tahun 90-an, baharulah kesedaran ini timbul oleh kerana usaha dan gerakan PAS yang turut menjadi antara penggerak utama kesedaran ini melalui kuliah-kuliah kesedaran.
Wanita Umno ketika PAS sudah tidak mempunyai muslimat yang tidak berhijab, masih tekapai-kapai menuding jari menuduh PAS sebagai kolot pada sekitar 80-an, hanya untuk mereka merasa lega hati, mengelak dari memakai hijab. Bahkan ada drama Melayu di RTM waktu itu yang menunjukkan watak wanita bertudung sebagai sesat, kolot dan bodoh….!
Namun, fitrah dan naluri sebagai seorang Islam, Wanita Umno akhirnya memecah tembok hijab itu dengan mengangkat allahyarham Siti Zaharah Sulaiman yang mengalahkan Rafidah Aziz sebagai Ketua Wanita Umno terakhir yang masih kekal tidak bertudung sehingga kini. Dan ketika ini masih ramai lagi kalangan ahli dan pimpinan Wanita Umno tidak bertudung.
Timbul pula parti PKR yang mana kita boleh lihat bagaimana keadaan mereka dengan arahan Allah ini. Mereka gagal mengajak atau mewajibkan keseluruhan kumpulan mereka untuk patuh kepada seruan dari surah al-Ahzab ini. Sekali gus membuktikan bahawa mereka gagal membawa Islam secara syumul dalam perjuangan mereka.
Sehinggakan ada golongan liberal penentang PAS menafsirkan ayat-ayat al-Quran dan hadis demi kepuasan nafsu mereka untuk tidak bertudung. Boleh dilihat amat sedikit program-program keagamaan yang mereka jalankan, sebaliknya acara berpesta tidak kira hala haram pula yang menjadi ikutan.
Kini majoriti wanita Islam bertudung sama ada kerana fesyen mahupun kerana keihklasan hati. Hinggakan artis wanita yang dahulunya memusuhi Muslimat PAS sekarang sudah bersama turun berdakwah. Malah tidak sedikit yang kekal bertudung dan tidak mahu membukanya walaupun ketika berlakon atau mengadakan persembahan.
Jika diperhatikan lagi, ramai ahli politik wanita yang tidak bertudung, akan mengenakan selendang atau berpakaian sopan ketika bertemu dengan pimpinan PAS. Tetapi tidak pernah lagi Muslimat PAS melepaskan rambut mereka semata-mata mahu mengejar undi dari bukan Islam. PAS kekal berprinsip dalam mendaulatkan Islam.
Tahniah adik-adik dari Ameerah Terengganu yang menyambung perjuangan bonda-bonda Muslimat PAS semenjak 70-an dan 80-an dahulu. Asbab kepada perjuangan PAS yang tidak pernah kenal erti putus asa dalam berdakwah, kita telah melihat hasilnya sekarang.
MOHD NASIR ABDULLAH
27 Februari 2025 – HARAKAHDAILY 27/2/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











