
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu sedang mengemaskini garis panduan berkaitan hiburan dan sukan bagi memastikan ia lebih tersusun dan selari dengan syariat Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, mesyuarat berkaitan telah diadakan kelmarin dipengerusikan Timbalan Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Ridzuan Hashim.
Menurutnya, garis panduan tersebut telah diguna pakai sejak lima tahun lalu, namun masih terdapat aspek yang perlu diperhalusi dan diperkasakan.
“Kita bincang dan kenal pasti permasalahan antaranya ialah garis panduan ini ia bersifat nasihat, bila garis panduan, orang boleh ikut dan orang tak nak ikut pun tak apa.
“Jadi dalam garis panduan ni sebenarnya ada sebahagiannya yang telah dijadikan sebagai peraturan. Maknanya orang langgar maka ada (dendanya).
“Jadi yang belum lagi ada peraturan itu kita akan bincang dan kita telah bersetuju dalam mesyuarat kelmarin untuk mewujudkan satu jawatankuasa bagi memantau pelaksanaan dan kita akan buat bengkel dalam masa yang terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media Sempena Madinah Ramadan dan Isu Semasa di Bilik Exco, Tingkat 6, Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Khalil berkata, pelaksanaan garis panduan ini akan mengambil pendekatan wasatiyyah (kesederhanaan) bagi memastikan kesesuaiannya dengan keadaan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
“Kerajaan negeri sebenarnya mengamalkan konsep wasatiyyah kerana suasana di Malaysia berbeza dengan negara Islam lain, budaya kita dari segi kepelbagaian masyarakat, kepelbagaian penganut agama dan seumpamanya,” katanya.
Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa pendekatan yang diambil adalah ekstrem atau menyerupai sistem Taliban, sebaliknya menegaskan bahawa kerajaan negeri amat berhati-hati dalam pelaksanaan peraturan yang melibatkan syariah.
“Kalau mereka tuduh kerajaan PAS ni Taliban, mereka pun sebenarnya ekstrem melampau dari sudut liberal, kebebasan dan seumpamanya. Jadi melampau ini sebenarnya satu sifat yang boleh dilemparkan kepada sesiapa, jadi kalau mereka lemparkan kepada kita melampau, mereka pun melampau juga.
“Pendekatan yang kita ambil ialah pendekatan nasihat. Saya bagi contoh semua orang maklum aurat lelaki, perempuan. Kalau aurat perempuan maknanya kena tutup kepala seumpamanya. Jadi kalau buka maksudnya haram.
“Tapi dari segi pelaksanaan kita nak melaksanakan satu peraturan satu hukuman yang diharamkan oleh syarak ini siasah syariah. Ia perlu kepada kes demi kes.
“Mungkin orang tu dia baru masuk Islam. Mungkin orang tu tak faham agama. Jadi tak terus kita pergi hukum dia. Contohnya denda, sebat dan seumpama itu tidak,” jelasnya.
Khalil berkata, penguatkuasaan lebih ketat hanya akan dilaksanakan terhadap kesalahan yang menjejaskan ketenteraman awam, seperti pesta minuman keras secara terbuka.
Selain itu, kata beliau, penambahbaikan garis panduan akan dikendalikan oleh pihak Institut Strategik dan Integriti Terengganu (TSIS) dengan kerjasama pelbagai agensi.
Termasuk ujarnya, penguatkuasa, Jabatan Mahkamah Syariah, Jabatan Pendakwaan, pendakwah serta pihak luar seperti ahli akademik bagi mendapatkan pandangan yang lebih komprehensif. – HARAKAHDAILY 26/2/2025




















