
PASIR PUTEH: Masjid Mukim Permatang Sungkai, dekat sini mengusahakan nanas MD2 secara komersial menerusi korperasi bagi menjana pendapatan serta menampung perbelanjaan institusi keagamaan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, usaha itu menunjukkan kemampuan pertanian secara kelompok yang diusahakan 15 peserta.
Malah menurut beliau Koperasi Masjid Mukim Permatang Sungkai Berhad dijadikan sebagai pusat bagi pengumpulan hasil nanas yang diusahakan komuniti terbabit di atas tanah seluas 15 ekar sejak beberapa tahun lalu.
“Pusat pengumpulan ini berperanan penting dalam memastikan hasil tanaman nanas dapat dikumpul dan dipasarkan dengan lebih sistematik, sekali gus meningkatkan nilai tambah kepada industri nanas tempatan di Kelantan.
“Ia membuktikan bahawa sektor pertanian, tanaman nanas MD2, mampu menjadi sumber ekonomi yang mampan bagi komuniti setempat, semoga usaha ini terus berkembang dan memberi manfaat kepada lebih ramai usahawan tani kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising itu mengadakan lawatan rasminya ke Pusat Pengumpulan Nanas Koperasi Masjid Mukim Permatang Sungkai Berhad.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Kelantan, Muhammad Fauzan Mohd; Pengurus Operasi Kelantan Biotech Corporation, Mohd Afzanizan Arif dan Imam Muda yang juga Pengerusi Koperasi, Azmi Husin.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri bekerjasama dengan LPNM untuk memperluaskan lagi peluang penanaman nanas di Kelantan termasuk projek tanaman berkelompok di kawasan tanah terbiar di Machang dan Jeli. – HARAKAHDAILY 24/2/2025




















