Bahaya nafsu, di tempat suci juga berlaku noda

Perlu gubal perundangan dan penguatkuasaan berkaitan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pihak berwajib perlu menggubal dan menguatkuasakan undang-undang yang benar-benar melindungi masyarakat, susulan insiden cubaan rogol seorang kanak-kanak perempuan ketika solat Subuh berjemaah di masjid baru-baru ini.

- Advertisement -

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, sejak tahun 2020, kes jenayah seksual terus meningkat saban tahun tanpa mengenal jantina, umur, status kesihatan, atau darjat si pelaku dan mangsa.

“Ini bukan sekadar angka statistik. Ia adalah amaran keras bahawa masyarakat kita semakin tenat. Kita tidak boleh hanya menuding jari. Penyelesaian bermula dari akar umbi.

“Pertama, didikan awal di rumah. Ibu bapa memainkan peranan utama dalam membentuk akhlak anak-anak. Kedua, didikan pertengahan di sekolah. Guru dan institusi pendidikan harus menanam nilai-nilai murni dengan tegas dan ketiga, didikan kuasa melalui undang-undang.

“Pihak berwajib mesti menggubal dan menguatkuasakan undang-undang yang benar-benar melindungi masyarakat. Semua usaha ini mesti selari dan bermatlamatkan satu perkara iaitu menjalankan syariat Islam dalam setiap aspek kehidupan, agar agama ini benar-benar tertegak dalam diri anak-anak kita,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Muhammad Hanif, masjid rumah Allah yang suci, sepatutnya menjadi tempat paling aman, namun kini ia tidak lagi terlepas daripada bahaya.

“Akibat nafsu dan kesakitan jiwa manusia, tempat suci ini turut dinodai tanpa sedikit pun rasa dosa. Inilah realiti dunia kita hari ini.

“Kes cubaan rogol seorang kanak-kanak di sebuah masjid ketika solat Subuh baru-baru ini memberi tamparan hebat kepada kita semua, terutamanya para ibu bapa dan pemegang kuasa.

“Mujur ada kamera litar tertutup (CCTV) di ruang solat. Inilah salah satu aspek keselamatan yang perlu dipuji dan menjadi contoh kepada masjid-masjid lain.

“Benar, si pelaku disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU), namun itu bukanlah tiket untuk melakukan jenayah,” katanya.

Memetik kata-kata Pensyarah Psikologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Idris, seseorang individu yang berstatus OKU dan mempunyai masalah mental tetap berpotensi melakukan jenayah jika masih mempunyai pertimbangan waras.

“Tanpa tergesa-gesa menghukum atau mengkritik, kita perlu melihat kes ini dengan ilmu dan hikmah. Jadikan ia sebagai pedoman agar peristiwa hitam ini tidak berulang.

“Kita kembali kepada ‘apa kata agama’ yang perlu direnungi dalam insiden ini. Dalam Islam, susunan saf di masjid bukan sekadar aturan, tetapi ada hikmah yang mendalam.

“Sunnah saf wanita adalah dimulakan dari belakang, dan tiada pemisahan saf antara orang dewasa dan kanak-kanak. Rasulullah SAW bersabda:

“Sebaik-baik saf bagi lelaki adalah saf yang terawal dan seburuk-buruk saf bagi lelaki adalah yang terakhir, manakala sebaik-baik saf bagi wanita adalah saf yang terakhir dan seburuk-buruk saf bagi wanita adalah saf yang terawal (Riwayat Muslim),’ katanya.

Terdahulu media melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan nyaris menjadi mangsa rogol di ketika solat berjemaah Masjid Jamek Sungai Masin Batang Kali, Selangor. – HARAKAHDAILY 24/2/2024

- Advertisement -