Marathon, Trail Run tarik perhatian dunia ke Kedah

- Advertisement -

YAN: Kedah Half Marathon 2025 yang diadakan di Jambatan Pulau Bunting, semalam bukan sahaja mencatat penyertaan ribuan sukan itu, malah menyemarakkan sektor pelancongan khususnya di daerah Yan.

- Advertisement -

Acara dibahagikan kepada tiga kategori iaitu lima kilometer (km), 10km dan 21km itu turut disertai pelari dari luar negara yang merupakan program berskala besar sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.

Selain ia membawa impak positif kepada sektor pelancongan, acara berprestij itu juga membantu merancakkan ekonomi masyarakat setempat terutama kepada pengusaha makanan dan rumah tumpangan.

Ia juga menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor pelancongan desa, sejajar dengan identiti Yan sebagai Daerah Pelancongan Desa dan Tenaga.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abdul Samat yang juga ADUN Sungai Limau telah menyempurnakan perasmian.

Menurut beliau, penganjuran Kedah Half Marathon 2025 bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, tetapi juga memberi manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat.

Sekali gus katanya, dapat memperkenal serta mempromosi pusat-pusat pelancongan yang terdapat di daerah itu.

Yan sememangnya mempunyai keunikannya tersendiri, apatah lagi dengan pelbagai daya tarikan rekreasi semulajadi seperti Gunung Jerai yang mampu menggamit pelancong ke daerah ini, termasuk juga keunikan perkampungan nelayan.

Daerah ini sekali lagi akan menjadi tumpuan antarabangsa berikutan akan berlangsungnya, International Kedah Trail Run-Jerai Geopark 2025 pada 5 Julai nanti di Geotapak Sungai Teroi, Bukit Yan. – HARAKAHDAILY 9/2/2025

- Advertisement -