
MACHANG: Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat merancang untuk mengadakan satu lagi himpunan besar di Kuala Lumpur bagi membantah keputusan pentabiran baru Amerika Syarikat (AS).
Pengerusinya, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pihaknya menentang keras perancangan AS untuk mengambil alih Gaza dengan memindahkan penduduknya ke negara lain antaranya Mesir dan Jordan.
Bagaimanapun beliau tidak menetapkan lagi tarikh tersebut bagi menyatakan solidariti dan kebersamaan rakyat Malaysia, selain menegaskan bumi Palestin dan Baitul Maqdis menjadi milik umat Islam.
“InsyaAllah dalam masa terdekat dengan perkembangan terbaru yang berlaku kenyataan daripada Trump yang menyata bahawa Gaza akan diserahkan kepada Isreal, rakyat Gaza kena keluar, pergi negara jiran.
“Kita akan mengadakan himpunan di Kuala Lumpur tarikh yang akan ditentukan untuk menyatakan solidariti kita, kebersamaan kita menegaskan bahawa bumi Palestin bumi umat Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan pada Majlis Himpunan Sejuta Ummah Cintakan Al-Quds sempena Sambutan Minggu Al-Quds Sedunia 2025 di Dataran Kemahkotaan Machang, di sini pada Sabtu.
Turut hadir Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan serta Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.
Presiden AS, Donald Trump dalam satu sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu baru-baru ini mengumumkan hasrat untuk mengambil alih wilayah Gaza melalui pemindahan penduduknya.
Menurutnya, usaha itu dibuat menerusi perancangan pembangunan semula luar biasa yang didakwa oleh kedua-dua pihak, lokasi tersebut boleh dijadikan pusat pelancongan seperti Riviera di Timur Tengah.
Cadangan Trump itu dibuat ekoran perjanjian gencatan senjata yang dikuat kuasa di Gaza pada 19 Januari, menghentikan sementara konflik mengorbankan lebih 47,000 dan mencederakan 100,000 penduduk. – HARAKAHDAILY 9/2/2025











