
MACHANG: PAS Kelantan melaungkan komitmennya untuk terus menyalurkan bantuan kepada Gaza bagi membangunkan wilayah tersebut yang musnah akibat peperangan bermula sejak bulan Oktober 2023.
Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, usaha yang tidak pernah dihentikan itu sebagai solidariti rakyat Kelantan kepada perjuangan pembebasan al-Aqsa.
Beliau berkata, gencatan senjata yang diumumkan antara HAMAS dan Israel dalam konflik yang meragut puluhan ribu nyawa dilihat membawa sinar dan peluang bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan.
“Selepas ini kita akan membantu membangun semula memberi skongan penuh sama ada secara material dan sebagainya supaya mereka dapat dibangunkan semula dan mempertahankan kedaulatan bumi mereka.
“Walaupun kita sebagai negeri kecil dalam Malaysia, kita mahu tunjuk kepada dunia inilah masa untuk bangkit bersama-sama dengan semua negara termasuk jiran mereka untuk bantu perjuangan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan pada Majlis Himpunan Sejuta Ummah Cintakan Al-Quds sempena Sambutan Minggu Al-Quds Sedunia 2025 di Dataran Kemahkotaan Machang, di sini pada Sabtu.
Turut hadir Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Penasihat Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) itu berkata lagi, dalam tempoh 15 bulan peperangan berlaku, penduduk Gaza terpaksa menganggung kesusahan hidup dan penderitaan yang tidak terperi.
Beliau berkata, hanya doa dan luahan solidariti dapat diluahkan bagi menyatakan bantahan terhadap kekejaman dan kezaliman itu, selain menanti keajaiban yang berlaku dalam konflik terbabit.
Malah menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan itu lagi, lokasi terbabit difahamkan menjadi tempat pembuatan senjata api dan bom untuk dijual kepada kerajaan rejim Israel.
“Tetapi sebaliknya Allah melaksanakan tindak-Nya di luar fikiran kita, jangkaan kita, rupa-rupanya Allah menghancurkan tempat yang membekalkan senjata kepada tentera Israel, kebakaran di Los Angeles.
“Kta tidak terbayang pun bahawa Dia akan hancurkannya dengan api dan angin yang marak dalam masa 48 jam sahaja boleh menghancurkan sebahagian bandar yang menghasilkan senjata kepada Israel,” katanya.
PAS Kelantan dalam pada itu menyampaikan sumbangan daripada PAS Kawasan di negeri itu yang terkumpul sebanyak RM146,295.00 kepada Tabung Pembangunan Semula Palestin.
Ia disampaikan Ustaz Ahmad kepada Dato’ Sri Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian pada majlis himpunan sempena Minggu Al-Quds Sedunia 2025 itu.
Turut hadir Pengerusi Aid4Palestine, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Pengerusi Lajnah Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Kelantan, Dato Abdullah Ya’akub.
Selama 15 bulan peperangan, rakyat Palestin terpaksa menanggung penderitaan dahsyat termasuk pengeboman Israel, ancaman penyakit berjangkit dan pelbagai kesukaran tidak dapat dibayangkan.
Semenanjung Gaza kini ibarat padang jarak padang tekukur, sebahagian besar kawasannya tidak dapat diduduki akibat ketiadaan kemudahan asas selain mengakibatkan sistem ekonomi terus lumpuh. – HARAKAHDAILY 9/2/2025




















