
YAN: Kedah antara negeri yang mempunyai kekuatan sebagai pusat ilmu agama, berikutan terdapat banyaknya pusat pengajian Islam seperti pondok-pondok, termasuk para asatizah berpengaruh.
Justeru, kehadiran pelancong ke negeri sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025, tidak hanya tertumpu ke pusat pelancongan rekreasi semata, tetapi juga digalakkan ke pusat pengajian untuk menceduk ilmu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abdul Samat berkata, agenda pelancongan ilmu turut dibawa sempena TMK ini.
“Kita nak pastikan pelancong bukan hanya datang ke negeri ini untuk menikmati keindahan kawasan-kawasan pelancongan, makanan yang sedap dan lain-lain, tetapi juga mendapat pengisian ilmu daripada tuan-tuan guru kita di Kedah ini.
“Kedah mempunyai kekuatan dari sudut itu kerana banyaknya pondok-pondok pengajian di seluruh negeri,” kata beliau pada Majlis Sungai Limau Berselawat dan Forum Perdana yang diadakan di Jambatan Pulau Bunting, kelmarin.
Tambah Dato’ Azam lagi, walaupun matlamat utama pelancongan untuk ekonomi serta memperkenalkan Kedah di mata dunia tetapi jika tidak disemarakkan dengan ilmu, maka sukar memberi kesan mendalam untuk mempengaruhi masyarakat.
“Kalau boleh kita hendak, mereka yang datang ke Kedah ini bukan sahaja membawa kenangan manis atas keramahan serta layanan mesra penduduk Kedah, atau berpuas hati dengan kebersihan dan keindahan tempat-tempat menarik.
“Tetapi kita nak, mereka bawa balik ilmu yang manfaat yang boleh diamalkan untuk kebaikan dunia dan akhirat,” tambahnya lagi.
Oleh itu ujarnya, semua pihak perlu persiapkan diri untuk menerima kedatangan pelancong, agar kehadiran mereka ke negeri bertuahnya bukan sahaja membawa pulang kenangan indah, tetapi juga ilmu manfaat sebagai buah tangan.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Abdul Ghafar Saad dan Pegawai Daerah Yan, Maznim Ismail.
Sementara Forum Perdana pada malam itu, dibarisi ahli panel, Ustaz Yaakob Yusra dan Ustaz Luthfi Amir Saidin. – HARAKAHDAILY 9/2/2025











