
PADANG BESAR: Pesta Wau dan Sukan Angin Timur Dewan Undangan Negeri (DUN) Beseri 2025 bakal kembali dengan lebih meriah, berlangsung dari 13 hingga 16 Februari di Kampung Padang Malau, di sini.
Pelbagai aktiviti menarik disusun, menjanjikan hiburan untuk seisi keluarga sambil mengangkat warisan budaya negeri Perlis.
ADUN Beseri, Haziq Asyraf Dun berkata, pesta ini bukan sekadar menghidupkan semula tradisi masyarakat, tetapi juga menjadi platform untuk memperkenalkan warisan budaya kepada generasi muda dan pelancong.
“Dengan gabungan elemen tradisional dan moden, kita mahu menjadikan pesta ini lebih meriah dan menarik kehadiran lebih ramai pengunjung,” katanya.
Antara aktiviti utama yang bakal mencuri tumpuan adalah pertandingan wau terbuka, bengkel wau kanak-kanak dan dewasa, serta pertandingan tarik traktor.
Pengunjung juga boleh menyertai sukaneka rakyat, bola jaring penalti bendang, dan menikmati tarikan seperti petting zoo, pameran fosil dan batu permata, serta food festival yang menawarkan lebih 40 gerai makanan tempatan dan tradisional.
Bagi mereka yang ingin bertanding, pertandingan wau terbuka terhad kepada 600 peserta dengan yuran penyertaan RM7, manakala bengkel wau jalabudi memerlukan peserta membawa sendiri peralatan dengan yuran RM30.
Hadiah wang tunai sehingga RM1,000 menanti pemenang dalam kategori wau terbuka.
Tradisi yang terus berkembang
Pesta Angin Timur (PAT) peringkat negeri merupakan tradisi unik masyarakat Perlis yang berlangsung sejak 2011, diadakan bersempena dengan musim angin timur.
Ketika sawah padi kering dan tidak ditanam, kawasan bendang menjadi lapangan terbuka untuk pelbagai aktiviti.
Bermula secara kecil-kecilan dalam kalangan masyarakat kampung, mereka menerbangkan wau jalabudi dan bermain sukan rakyat untuk mengisi masa lapang ketika musim angin kering.
Kini, dengan sokongan Kerajaan Negeri Perlis dan Kerajaan Persekutuan, acara ini berkembang menjadi pesta tahunan yang menarik perhatian pelancong dalam dan luar negeri.
Antara permainan tradisional yang sering dikaitkan dengan pesta ini termasuk wau, layang-layang, sepak raga, tarik tali dan gasing.
Tahun lepas, pesta ini diadakan pada 25 Februari dengan sepuluh acara utama, antaranya pertandingan wau, pertandingan membuat kerabu, bola sepak pakai kain lima sebelah, teka biji ketela, dan terbei tin.
Tahun ini, PAT 2025 bakal berlangsung pada 21 hingga 23 Februari di Kampung Lat Seribu, Tambun Tulang, Arau, menjanjikan lebih banyak acara yang menghidupkan semula tradisi rakyat Perlis. – HARAKAHDAILY 4/2/2025






















