
KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mencatat sejarah sebagai Majlis Agama Islam Negeri pertama di Malaysia yang berjaya melahirkan graduan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
Sijil berkenaan bagi Program Pengoperasian Masjid Tahap 1 melalui pendekatan Latihan Dalam Industri (ADi).
Seramai 21 orang Imam Tua dan Imam Muda daripada Akademi Latihan Al-Muhammadi (ALAMi) telah menerima sijil masing-masing dalam satu majlis graduasi yang berlangsung di Hotel Perdana, di sini semalam.
Penyampaian sijil disempurnakan Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz merangkap Yang Dipertua MAIK.
Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia sejak tahun 2024 dan berjaya memberikan latihan bersesuaian dengan standard pekerjaan di masjid.
Menurut Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam, penganjuran program ini adalah langkah awal ke arah melahirkan pegawai masjid yang berkemahiran tinggi, sekali gus menepati keperluan industri dan standard perkhidmatan berkualiti.
Menurutnya, perantis program ini bukan sahaja menerima Sijil Kemahiran Malaysia yang diiktiraf, malah turut menerima insentif kewangan sebanyak RM500 sebulan oleh JPK sepanjang tempoh latihan.
Pada majlis sama, MAIK turut menerima tauliah untuk melaksanakan Program ADi Tahap 2 (Penyelarasan Operasi Masjid) dan Tahap 3 (Penyeliaan Operasi Masjid), yang disampaikan oleh Pengarah Bahagian Pentauliahan JPK, Ts Azman Ibrahim.
Tengku Temenggong Kelantan turut menyatakan hasrat agar ALAMi menjadi pusat latihan pegawai masjid terkemuka di rantau ini serta memperluaskan program TVET berimpak tinggi pada masa depan.
“Terima kasih diucapkan kepada Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia atas segala sokongan dan dorongan dalam menjayakan program ini.
“Semoga kerjasama ini berterusan dan ALAMi MAIK menjadi peneraju TVET masjid di Malaysia, insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/1/2025





















