
KOTA BHARU: Sambutan Tahun Baharu Cina dianjurkan setiap tahun bukan sahaja untuk masyarakat Cina, tetapi turut menjadi platform semua kaum di negeri ini sehingga masing-masing turut bersama menghargainya.
Ia selaras dengan hasrat Kerajaan Kelantan untuk menjadikan perpaduan kaum di negeri ini sebagai simbul perpaduan nasional serta contoh di peringkat negara.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Antara Kaum Negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, majlis seperti ini adalah simbol perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Kelantan.
Katanya, ia juga menjadi bukti bahawa Kelantan mampu membina masyarakat bersatu dalam kepelbagaian kaum, budaya dan agama.
Beliau juga menyifatkan Kelantan sebagai negeri yang unik kerana merangkul pelbagai tradisi dan budaya, menjadikan perpaduan sebagai kekuatan negeri.
“Hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Kelantan sebagai model perpaduan peringkat nasional turut ditekankan.
“Sambutan seperti ini membuktikan bahawa kita meraikan perbezaan dengan rasa hormat dan saling menghargai.
“Saya yakin, sikap ini adalah asas kukuh untuk memastikan negeri kita terus aman dan maju,” katanya ketika berucap pada majlis Malam Kebudayaan Tahun Baharu Cina 2025 di AEON Mall Kota Bharu malam tadi.
Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud dengan turut hadir pada majlis itu ADUN Bunut Payong, Shaari Mamat serta pemimpin masyarakat.
Majlis yang dianjurkan oleh AEON Mall Kota Bharu dengan kerjasama Persatuan Seni Kebudayaan Weiyang Kelantan berjaya menarik kehadiran ramai.
“Ribuan terima kasih kepada semua yang hadir malam ini untuk memeriahkan suasana majlis ini.
“Kehadiran kita membuktikan bahawa keharmonian dan perpaduan kaum adalah kekuatan utama masyarakat kita di Kelantan,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap rakyat Kelantan yang hidup harmoni meskipun terdiri daripada pelbagai budaya, agama, dan tradisi. – HARAKAHDAILY 26/1/2025




















