Kem Aulad Soleh tarik sambutan luar jangkaan

Sasaran 100 peserta, 700 yang hadir

Majlis Penutup dan Penyerahan Peserta Kem Aulad Soleh (KAS) siri pertama di Kompleks Matin, semalam.
- Advertisement -

KANGAR: Kem Aulad Soleh (KAS) siri pertama melabuhkan tirainya semalam setelah empat hari berlangsung dari 19 hingga 22 Januari di Kompleks Pendidikan Matin, di sini.

- Advertisement -

Program yang pada awalnya mensasarkan hanya 100 peserta, telah menarik 682 peserta pada hari pertama, 706 pada hari kedua dan 690 peserta pada hari ketiga dan keempat.

Kejayaan luar biasa ini memberi gambaran jelas terhadap keinginan ibu bapa dan masyarakat untuk menyediakan asas agama yang kukuh kepada anak-anak mereka.

Mengikut perancangan asal, pihak penganjur tidak menyangka sambutan yang diterima akan melebihi jangkaan.

Mudir Maahad Tarbiyah Imam An-Nawawi (Matin), Ustaz Yussaine Yahya berkata, sambutan ini mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan ibu bapa untuk memberikan pendidikan agama lebih mendalam kepada anak-anak.

“Kehadiran lebih 700 peserta di luar jangkaan menunjukkan masyarakat sangat memerlukan program-program seperti ini. Kami berharap program ini memberi manfaat yang besar kepada semua peserta,” katanya pada Majlis Penutup dan Penyerahan Peserta kepada waris.

Program tersebut diisi dengan pelbagai aktiviti yang tidak hanya mengutamakan pembelajaran teori, tetapi juga amalan praktikal yang dapat memperkukuh iman dan takwa.

Antara aktiviti utama yang dilaksanakan adalah kelas celik Iqra’ dan Al-Quran, pengajaran rukun iman dan Islam, serta praktikal wuduk dan solat.

Selain itu, peserta juga turut menyertai pertandingan hafazan dan kuiz berkaitan surah, doa, dan hadis pilihan.

Kehadiran 52 fasilitator dari Sekolah Menengah Agama Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah (AL-MAAD), Maktab Mahmud Yan, dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAM) memberi impak yang positif sepanjang kem berlangsung.

Mereka bekerja keras untuk memastikan kelancaran setiap aktiviti dan membantu peserta memahami dengan lebih baik setiap pengajaran yang disampaikan.

Salah satu aspek menarik perhatian adalah penyediaan makanan yang disediakan oleh pasukan dapur yang mendapat pujian dari peserta.

Rata-rata peserta memuji masakan yang dihidangkan tambahan pula mereka makan secara berjemaah.

“Keberkesanan penyediaan makanan ini mencipta suasana seperti kenduri dan menambah keceriaan dalam program,” katanya lagi.

Jumlah keseluruhan perbelanjaan untuk program ini adalah RM38,160, dan menariknya, pihak penganjur tidak mengenakan sebarang bayaran daripada peserta.

Ia membuktikan, kem ini bukan sekadar satu program pendidikan tetapi satu amal jariah untuk kepentingan masyarakat.

Ustaz Yussaine turut menzahirkan ucapan ribuan terima kasih kepada ibu bapa yang memberi kepercayaan penuh kepada pihak penganjur untuk menguruskan anak-anak mereka selama empat hari penuh.

Beliau berharap setiap ibu bapa dapat melihat pelaburan ini sebagai satu peluang untuk memperoleh pahala yang berterusan di sisi Allah.

“Semoga apa yang telah dipelajari oleh peserta sepanjang kem ini dapat dimanfaatkan dalam kehidupan seharian mereka. Kami berharap mereka dapat mengamalkan ilmu yang diperoleh dan terus menjaga amal ibadat dengan baik,” ujar Ustaz Yussaine.

Menurut Ustaz Yussaine lagi, program seumpama itu akan dijalankan secara berkala, sama ada sebulan sekali, dua bulan sekali, atau tiga bulan sekali.

“Saya berharap program ini dapat diteruskan dan berkembang dengan lebih banyak penyertaan pada masa akan datang. Kami akan terus berusaha untuk meningkatkan kualiti pengisian dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/1/2025

- Advertisement -