
JERAI: Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit, menyokong penuh, penguatkuasaan yang bakal diambil oleh Kerajaan Negeri Kedah, iaitu mewajibkan tulisan rumi sebagai tulisan pertama di papan tanda.
Beliau juga menyambut baik cadangan menjadikan tulisan jawi sebagai tulisan kedua kerana ia merupakan usaha untuk memartabatkan tulisan warisan itu.
“Saya ucapkan tahniah atas usaha yang baik ini dan mengharapkan negeri-negeri lain juga berbuat demikian.
“Ini merupakan satu usaha yang baik demi memartabatkan warisan Melayu selain mengutamakan tulisan bahasa kebangsaan,” katanya pada kenyataan kepada Harakahdaily, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengharapkan tiada pihak yang cuba mempolitikkan hal ini kerana keputusan yang diambil oleh kerajaan negeri tidak mengenepikan tulisan lain-lain bangsa.
“Tulisan lain-lain bangsa dibenarkan sebagai tulisan ketiga selepas tulisan rumi dan jawi,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria memaklumkan, pihaknya bakal menguatkuasakan untuk mewajibkan penggunaan tulisan rumi sebagai tulisan pertama, diikuti tulisan jawi dan seterusnya tulisan lain-lain bangsa di setiap ‘bilboard’ di Kedah.
Kenyataan beliau yang disiarkan Harakahdaily pada 12 Januari lalu itu, juga mengatakan, peraturan itu untuk mengelak penggunaan tulisan lain selain yang dibenarkan sebagai bahasa utama di papan tanda.
Mansor juga berkata, penguatkuasaan itu akan mengambil kira larangan memaparkan gambar wanita seksi, bahan larangan, berbaur hasutan, perkauman dan gambar senjata tajam.
Dalam pada itu Sabri yang merupakan Munsyi Tulisan Jawi juga memaklumkan, usaha memartabatkan tulisan warisan itu sering disebut dan diperjuangkan beliau setiap kali berlangsung persidangan Dewan Rakyat.
“Mudah-mudahan usaha baik yang dilakukan oleh kerajaan negeri ini diterima oleh seluruh rakyat, bukan saja di Kedah tetapi juga di negeri-negeri lain.
“Syabas dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Kedah,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 15/1/2025




















