
ALOR SETAR: Kerajaan digesa agar serius dalam menangani masalah pesawah padi terutama berkaitan isu harga, demikian tegas Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit.
Menurutnya, harga padi yang rendah adalah tidak sesuai, apatah lagi dalam keadaan ekonomi negara tidak menentu, ditambah harga barangan keperluan melambung tinggi.
“Keadaan ini cukup menyedihkan bagi kehidupan para petani seluruh Malaysia. Mereka ini umpama buat kerja untuk orang lain. Kemiskinan tetap berlaku.
“Kenaikan harga beras, melambung-lambung, harga padi ditahap yang sama,” kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) dilaporkan media sebelum ini, membantah penetapan harga belian padi yang rendah.
Menurut PeSAWAH, keputusan itu diambil pada mesyuarat antara pengilang beras dan Ketua Pengarah Bahagian Industri Padi dan Beras.
Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob berkata, penetapan harga rendah adalah tidak adil dan tidak mencerminkan realiti kos pengeluaran padi yang semakin meningkat ketika ini.
PeSAWAH juga meminta kerajaan mengkaji semula penetapan harga minimum belian padi dan mengambil kira beberapa faktor terpaksa ditanggung petani seperti kenaikan kos pengeluaran padi mendadak, pendapatan dan kebajikan pesawah.
Justeru kata Sabri, pada persidangan Dewan Rakyat akan datang, beliau sekali lagi akan membawa isu ini kerana ia berkait dengan kos sara hidup para petani yang semakin meruncing.
“Kerajaan perlu dengar masalah petani ini. Kalau boleh tak mahu lagi dengar rutin dalam parlimen, ‘beras putih hilang, beras putih hilang’ atau beras putih jadi beras import. Keadaan ini cukup sedih,” ulasnya lagi.
Dalam pada itu, kata beliau, terdapat juga masalah harga padi yang cuba ‘dimainkan’ sesuka hati oleh pengilang.
“Kerajaan patut kawal harga padi, pengilang naik ikut suka hingga RM1,800 per tan. Buat ikut suka untuk penuhkan kuota yang mereka (pengilang) hendak.
“Bila dah cukup atau penuh kuota, mereka akan turunkan ke harga yang mereka sendiri letak. Petani yang sempat jual ketika pengilang naik harga. Untunglah.
“Tapi yang tak sempat, dapat harga rendah sahajalah. Sama seperti BERNAS, ambil rendah juga,” tambah beliau.
Sabri juga difahamkan harga padi tidak dinaikkan sejak 2014, justeru mengharapkan kerajaan mengkajinya kembali serta mengambil kira kos-kos yang terpaksa ditanggung oleh pesawah.
“Mereka (pesawah) terpaksa menanggung kos yang tinggi.
Sewa bendang sahaja antara RM800-RM1,000 serelung, kos racun, baja, semua naik.
“Mereka hidup dalam keadaan ‘cukup-cukup makan’. Lebih terkesan kepada pesawah yang tidak mempunyai sawah yang luas, sekadar tiga hingga empat relung sahaja,” tegasnya lagi.
Berikutan itu katanya, sebagai Kerajaan Madani yang berslogan bela rakyat, masalah seumpama itu perlu diambil kisah.
“Kalau tidak ambil kisah, maknanya kerajaan hari ini gagallah menangani masalah harga padi, bukan untuk sesiapa tetapi untuk rakyat marhaen di bawah,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 13/1/2025
.




















