
KANGAR: Malam minggu di Kangar Street Art semakin meriah dengan penganjuran kelas mewarna percuma untuk kanak-kanak menerusi program ‘Kita dan Seni’.
Inisiatif anjuran Pasar Lokal ini diadakan dua kali sebulan sebagai usaha mempelbagaikan aktiviti komuniti sambil menyokong peniaga tempatan.
Pengajar program, Noorisswarie Zahir Mozni, 33, yang juga graduan Seni Halus dari sebuah universiti tempatan berkata, kelas selama 30 minit ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi turut membantu perkembangan kreativiti kanak-kanak.
“Program ini diadakan secara santai, kanak-kanak belajar asas seni seperti pencahayaan, pemilihan warna, dan teknik mewarna dengan kemas.
“Kelas ini juga terbuka kepada keluarga, jadi sambil membawa anak, ibu bapa boleh menyokong peniaga di sekitar Pasar Lokal,” katanya.
Seorang ibu, Noor Maslinda Che Razali, memuji inisiatif ini yang menurutnya membantu mengurangkan kecanduan anak-anak terhadap gajet di rumah.
“Biasanya malam minggu anak-anak akan habiskan masa dengan gajet atau televisyen. Dengan adanya program seperti ini, mereka boleh belajar sesuatu yang baru dan lebih bermanfaat,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta, Nurul Maisyara Salsabila Shabri, 6, tidak dapat menyembunyikan keterujaannya selepas mempelajari teknik mewarna baharu.
“Teacher ajar saya cara guna colour pencil dan crayon. Seronok sangat!” kata Maisyara, yang sebelum ini pernah memenangi beberapa pertandingan mewarna.
Walaupun berlangsung dalam tempoh singkat, program ini berjaya menarik lebih 50 peserta dalam setiap sesi, dengan keluarga membawa peralatan mewarna mereka sendiri.
Selain kelas seni, kawasan Kangar Street Art juga dikenali dengan seni mural yang memaparkan wajah tokoh dan elemen budaya Perlis.
Mural di sini hasil usaha Persatuan Pelukis Negeri Perlis yang diketuai oleh Yaakob Abd Aziz atau lebih dikenali Cikgu Yaakob.
Inisiatif seperti ini bukan sahaja menghidupkan suasana komuniti, tetapi juga memberi peluang kepada generasi muda untuk mengenali dan menghargai seni. – HARAKAHDAILY 13/1/2025





















