
ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan kutipan hasil kerajaan negeri pada tahun lalu, meningkat RM700 juta, sekali gus menjadikan yang paling tinggi dalam sejarah negeri itu.
“Angka ini agak luar biasa dan mengejutkan, dengan melebihi unjuran sebanyak 102 peratus dan melebihi sasaran awal yang ditetapkan,” ujar beliau.
Pencapaian diperolehi itu katanya, adalah sesuatu yang belum pernah terjadi untuk Kedah dan membuktikan negeri itu berupaya
memperolehi kutipan hasil melebihi RM700 juta tanpa peruntukan Kerajaan Persekutuan.
Berikutan itu, beliau mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepasa seluruh jentera kerajaan negeri yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Norizan Khazali dan semua agensi kutipan hasil.
“Saya turut menghargai lain-lain agensi yang tidak terlibat secara langsung dalam kutipan hasil kerana pencapaian juga menunjukkan semua pihak mengamalkan perbelanjaan berhemah dan tidak membazir,” tambah beliau.
Sanusi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kedah di Dataran Wisma Darul Aman, di sini, hari ini yang turut dihadiri Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta ketua-ketua jabatan.
Dalam pada itu, beliau turut menyasarkan kutipan hasil 2025, melalui sumber-sumber baharu seperti penerokaan unsur nadir bumi (REE) dan kredit karbon dan lain-lain yang dianggar boleh meningkat sehingga RM1 billion.
Paling penting katanya, semua pihak perlu memberi fokus terhadap usaha menambah hasil negeri bagi memenuhi setiap pembiayaan yang diperlukan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat sebagai matlamat utama kerajaan.
Pada majlis itu, beliau turut menyempurnakan Pelancaran Strategik Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah dan Pelancaran iHome. – HARAKAHDAILY 2/1/2025




















