
BAGAN SERAI: PAS Perak menolak tuduhan tidak berasas yang dilemparkan oleh seorang pemimpin DAP kononnya PAS mengadakan himpunan solidariti untuk Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak kerana gilakan kuasa.
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria yang juga Ahli Dewan Negeri Gunong Semanggol berkata, tuduhan itu adalah fitnah bertujuan mengelirukan rakyat dan mempolitikkan isu keadilan.
“PAS Perak ingin menegaskan sokongan itu merupakan pendirian PAS Pusat terhadap keadilan berdasar prinsip Titah Adendum, bukan berdasarkan kepentingan individu.
“Dalam konteks ini, adendum merujuk kepada penambahan atau perubahan kepada dokumen atau perjanjian untuk menjamin keadilan lebih menyeluruh dalam sesuatu kes perundangan,” jelasnya pada kenyataan, hari ini.
Justeru kata beliau, perkara penting perlu diingatkan, bahawa adendum ini adalah titah yang pernah dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-XVI yang turut diperakui oleh pemohon, iaitu anak kepada Dato’ Sri Mohd Najib sendiri.
Beliau menambah, titah tersebut menunjukkan, bahawa proses perundangan negara ini sentiasa terbuka untuk disemak bagi memastikan keadilan benar-benar ditegakkan tanpa tekanan politik atau prasangka.
“Oleh itu, PAS Perak percaya, mempertahankan adendum ini adalah penting untuk menjunjung kedaulatan undang-undang serta menjamin keadilan kepada semua pihak tanpa mengira kedudukan atau latar belakang,” kata Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak itu lagi.
Dalam pada itu, Razman turut menegaskan, PAS negeri itu juga mengecam tindakan DAP yang sering menunggang istilah perpaduan untuk mencapai agenda politik mereka, khususnya agenda ‘Malaysian Malaysia’.
Agenda itu kata beliau, adalah bertujuan menghapuskan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan, sekali gus menjejaskan kontrak sosial yang menjadi asas kestabilan negara.
“Jangan menunggang istilah perpaduan. Perpaduan tidak boleh dicapai dengan menidakkan hak-hak istimewa yang termaktub dalam Perlembagaan.
“Sebaliknya, ia hanya boleh dicapai dengan keadilan sosial yang menghormati sejarah, budaya, dan asas pembentukan Malaysia,” tambah beliau lagi.
Justeru tegasnya, PAS Perak akan kekal komited memperjuangkan prinsip keadilan yang telus untuk semua rakyat Malaysia.
Malah tuduhan melulu oleh pemimpin DAP itu katanya, merupakan taktik politik yang berniat jahat, sekali gus mencabar keharmonian masyarakat. – HARAKAHDAILY 2/1/2025











