Mengenang Prof Dato’ Dr Zulkifli Muhammad: Pelita perjuangan umat

- Advertisement -

MEMULAKAN hari pertama tahun 2025 semalam, dengan menziarahi makam Prof. Dato’ Dr. Zulkifli Muhammad dan isterinya di Kampung Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kelantan.

Pada 6 Mei 1964, Prof. Dato’ Dr. Zulkifli Muhammad, seorang intelektual Islam terkemuka yang juga Timbalan Yang di-Pertua PAS, telah kehilangan nyawa dalam satu kemalangan jalan raya tragis di Jalan Gambang, Kuantan. Bersama beliau ialah isterinya, Ustazah Asiah Kamaruddin, Naib Ketua Muslimat PAS Pusat. Peristiwa ini bukan sahaja meragut dua nyawa yang penting kepada perjuangan Islam di Malaysia, tetapi juga meninggalkan kesan mendalam terhadap politik, pendidikan, dan pemikiran Islam di negara ini.

Prof. Zulkifli dilahirkan pada tahun 1927 dan telah menonjol sebagai pemimpin muda yang progresif, intelektual ulung, dan pemikir yang membawa nafas baru dalam perjuangan Islam. Beliau merupakan salah seorang pelopor dalam bidang pendidikan Islam di Malaysia. Antara sumbangan besar beliau termasuklah usaha menubuhkan Kolej Islam Malaya di Kelang pada tahun 1953. Institusi ini menjadi titik permulaan kepada perkembangan pendidikan tinggi Islam di Malaysia. Beliau juga mencetuskan idea untuk menubuhkan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan pada tahun 1965, yang kemudiannya berkembang menjadi Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS). Wawasan beliau terhadap pendidikan tinggi Islam adalah cerminan iltizamnya untuk memartabatkan umat melalui ilmu.

Dalam arena politik, Prof. Zulkifli merupakan seorang pemimpin yang berani dan berwibawa. Sebagai Ahli Parlimen Bachok, Kelantan, beliau membawa suara rakyat dengan penuh tanggungjawab, sambil memperkukuh kedudukan PAS sebagai sebuah parti politik Islam yang dihormati. Beliau juga berdiri seiring dengan tokoh-tokoh besar seperti Dr. Burhanuddin al-Helmi, Presiden PAS ketika itu. Walaupun usia kepimpinannya singkat, dedikasi dan visi beliau meninggalkan legasi yang tidak ternilai.

- Advertisement -

Kemalangan yang meragut nyawa beliau dan isterinya berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Perak dari Kelantan, selepas beliau menyampaikan amanat terakhirnya di Dewan PAS Kelantan, Jalan Dato’ Pati, Kota Bharu. Amanat ini kini dikenali sebagai ‘Amanat Terakhir Prof. Zulkifli Muhammad’. Jenazah beliau dibawa pulang menggunakan helikopter atas arahan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia pertama. Beliau disemadikan di kampung halamannya di Kampung Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak.

Tragedi ini mencetuskan pelbagai spekulasi, termasuk mengenai punca sebenar kemalangan yang melibatkan kenderaan beliau dengan sebuah kenderaan lain dipercayai jenis Range Rover atau Land Rover. Namun, tiada bukti kukuh yang mengesahkan teori-teori tersebut, dan insiden ini diterima sebagai satu takdir yang menyayat hati.

Keberanian Prof. Zulkifli dikenang hingga kini, termasuk kisahnya menentang Komunis walaupun menghadapi kekangan fizikal. Bagi mereka yang mengenali beliau, termasuk generasi yang mewarisi cerita perjuangan beliau, arwah dikenang sebagai pemikir dan pejuang sejati. 

Sebagai penghormatan, nama beliau diabadikan pada sebuah dewan di Pejabat Perhubungan PAS Negeri Kelantan, simbol penghargaan kepada jasa yang tidak ternilai dan inspirasi kepada generasi pemimpin akan datang. Legasi beliau terus hidup sebagai pelita kepada perjuangan yang beliau tinggalkan.

DATO’ SRI AMAR D’RAJA MOHD AMAR ABDULLAH
Naib Presiden PAS – HARAKAHDAILY 2/1/2025

- Advertisement -