
KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis bertekad untuk membawa negeri ini ke arah kecemerlangan duniawi dan ukhrawi melalui tema ‘Perlisku Bestari Berkat Lestari’.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, tema itu akan diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan oleh semua jabatan dan agensi, sama ada kerajaan mahupun bukan kerajaan.
“Inisiatif Skim Kafalah Perlis yang diperkenalkan dalam Belanjawan Perlis 2025 menyediakan bantuan khairat kematian kepada golongan rentan tanpa mengira kaum dan agama.
“(Ini) mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap kebajikan dan kesejahteraan masyarakat. Saya ingin mengingatkan para pentadbir dan pimpinan negeri agar melaksanakan pentadbiran dengan amanah dan integriti.
“Mudahkanlah urusan rakyat tanpa birokrasi yang membebankan,” katanya sempena Majlis Sambutan Tahun Baharu 2025 di Dewan 2020, malam tadi.
TMPs dan dorongan pertumbuhan ekonomi
Menjelang tahun kedua pelaksanaan Tahun Melawat Perlis (TMPs), beliau mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat menjayakan agenda tersebut.
“Negeri ini menyasarkan kehadiran 3.5 juta pelancong melalui penambahbaikan lokasi strategik, dengan acara seperti Pesta Angin Timur dan promosi Perlis Geopark menjadi tarikan utama.
“Saya mengharapkan kita menggunakan peluang ini bagi memastikan kebersihan negeri, melayan pelancong dengan mesra, dan menawarkan harga yang berpatutan untuk memacu sektor pelancongan sebagai penyumbang utama ekonomi negeri,” ujarnya lagi.
Mohd Shukrti turut menekankan, kerajaan negeri sedang giat melaksanakan perancangan strategik untuk menjadikan Perlis negeri yang maju dan berdaya saing.
“Pelaburan baharu yang diterima tahun lalu telah meningkatkan ekonomi negeri dan membuka peluang baharu kepada rakyat,” katanya lagi.
Beliau juga menyeru rakyat Perlis agar lebih berdikari dan berdaya saing dalam memanfaatkan pelbagai inisiatif yang telah disediakan oleh kerajaan negeri untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
“Kita harus bersyukur atas keamanan yang dikecapi dan mengambil iktibar daripada semangat saudara kita di Palestin yang tetap tabah meskipun diuji dengan peperangan.
“Mari kita keluar dari zon selesa dan berusaha membangunkan negeri ini bersama-sama,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/1/2025




















