Jambatan Tok Pasai kini berwajah baharu

Mohd Salleh bergambar bersama para pengunjung di Jambatan Tok Pasai
- Advertisement -

KUALA KEDAH: Jambatan Tok Pasai selepas menjalani beberapa fasa percubaan, kini berwajah baharu yang lebih indah dengan cahaya berwarna-warni khususnya di waktu malam sejajar Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.

- Advertisement -

Pencahayaan itu menjadi titik pemisah antara kesuraman pada malam hari dengan suasana yang lebih ceria serta gemerlapan dengan cahaya.

Jambatan yang berusia lebih daripada tiga dekad itu, dibina pada tahun 1991 dan menjadi laluan penghubung kawasan persekitaran.

Sebelum ini, penduduk sekitar Kampung Seberang Kota, Kampung Baru Hilir, Kampung Baharu Hulu dan lain-lain menggunakan perkhidmatan air iaitu sampan untuk urusan seharian.

Wujudnya jambatan itu bukan sahaja membawa arus kemodenan kepada penduduk Kuala Kedah, malah memberi kemudahan antaranya kepada anak-anak untuk pergi ke sekolah, para peniaga dan lain-lain.

Jambatan Tok Pasai mengambil nama sempena seorang pendekar yang juga ulama berasal dari Pasai, Indonesia.

Beliau berhijrah ke Kuala Kedah pada tahun 1844, selain handal dalam seni persilatan, beliau juga berpengetahuan tinggi dalam agama Islam, malah akhlaknya yang mulia mendapat perhatian dan sanjungan daripada penduduk di kawasan tersebut.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin, pembinaan landskap pencahayaan tersebut berjumlah lebih daripada RM220,000.

Katanya juga, ia memberi keceriaan sekali gus mengangkat Kuala Kedah sebagai salah satu produk pelancongan di negeri ini.

“Ini adalah satu ikon kepada Pekan Kuala Kedah ini sendiri dan pencahayaan di Jambatan Tok Pasai ini juga menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri untuk menjadikan kawasan ini sebagai salah satu destinasi penting dalam industri pelancongan di Kedah ini,” kata beliau.

Bersesuaian Pekan Kuala Kedah sebagai salah satu pintu keluar masuk utama ke Pulau Langkawi, imej baharu jambatan itu secara langsung memberi nilai tambah kepada pekan tersebut.

Tentulah diharapkan, orang ramai dan pengguna dapat menjaga serta memelihara keindahan, kebersihan dan lain-lain berkaitan, agar terus menjadi daya pemikat pelancong ke Kedah. – HARAKAHDAILY 1/1/2025

- Advertisement -