
POKOK SENA: Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) perlu bersikap adil dalam melaksanakan tanggungjawab di kampung atau komunitinya, kata Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar itu mengingatkan, setiap MKK perlu menjadi ejen masyakarat tanpa mengira perbezaan pegangan parti politik, agama dan kaum.
“Sekiranya mereka dari golongan sasaran dan layak menerima sumbangan dan bantuan, perlu diberikan walaupun berbeza fahaman politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program libat urus MKK Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lada di Kampung Kedundung, di sini, semalam.
Turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Ustaz Salim Mahmood.
Tegas Dato’ Ashah, perlu elakkan dendam, pilih kasih atau mementingkan hal peribadi dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
“Saya mahu pastikan bantuan Beras Sejahtera masuk ke seluruh rumah-rumah yang memerlukan,” tegasnya mengingatkan mereka menjadi pemimpin beramanah dan bekerja keras menyelesaikan masalah penduduk.
ADUN Merbau Pulas itu turut memaklumkan, pada Januari 2025, kerajaan negeri akan memastikan semua MKK mempunyai caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Menurut beliau, ia sebagai perlindungan jika berlaku apa-apa kemalangan semasa menjalankan tugas.
Malah bermula tahun hadapan juga tambahnya, MKK perlu menyediakan profil kampung termasuklah bancian bilangan B40, M40 dan T20.
Penyediaan profil kampung itu kata beliau, merupakan arahan dari Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) melibatkan MKK seluruh Kedah.
“InsyaAllah, saya mohon kepada YB Dr Haim Hilman agar menghantar pelajar universiti ke kampung bagi membantu MKK menyiapkan profil kampung,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 17/12/2024




















