MSNPs: Perlis struktur semula mekanisme – EXCO Sukan

- Advertisement -

KANGAR: Sektor sukan Perlis terus mengorak langkah dengan pelbagai strategi pembangunan berimpak tinggi selepas mencatatkan pencapaian cemerlang sepanjang tahun 2024.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Mohd Ridzuan Hashim berkata, beberapa inisiatif baharu akan dilaksanakan mulai 2025 bagi memperkukuhkan ekosistem sukan negeri.

“Tahun 2024 mencatatkan sejarah manis bagi sektor sukan negeri Perlis. Kontinjen negeri berjaya mengutip 12 emas, 15 perak, dan 16 gangsa dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024, rekod terbaik kita di luar negeri.

“Dalam Para SUKMA pula, Perlis meraih 6 emas, 13 perak, dan 6 gangsa, manakala di Kejohanan MSSM, atlet muda Perlis membawa pulang 10 emas, 12 perak, dan 29 gangsa,” katanya ketika sesi penggulungan kerajaan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Menurut beliau, kejayaan ini bukan sahaja menyerlah di peringkat kebangsaan, malah atlet negeri turut mengukir nama di pentas antarabangsa seperti Paralimpik Paris 2024, World Cup Woodball Championship dan Asia Pacific Deaf Games.

“Insya-Allah, semua atlet yang mengharumkan nama negeri akan diraikan dalam satu majlis penghargaan khas pada tahun 2025,” tambahnya.

Mohd Ridzuan turut memaklumkan bahawa Majlis Sukan Negeri Perlis (MSNPs) akan distruktur semula bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan.

“Penambahbaikan ini akan melibatkan sistem kejurulatihan, pembangunan sukan teras, pemerkasaan program Young Lions, dan sistem periodisasi latihan atlet.

“Program pencarian bakat baharu melalui Talent Identification (TID) juga akan dilaksanakan untuk mengenal pasti pelapis bagi SUKMA 2026.

“Selain itu, Perlis bakal menjadi tuan rumah Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Olahraga pada 2025, platform penting mencungkil bakat muda.

“Sebagai usaha memperkukuhkan identiti, logo baharu MSNPs akan diperkenalkan melalui pertandingan mencipta logo melibatkan penyertaan masyarakat awam, dan dijangka dilancarkan semasa Majlis Penghargaan Atlet 2025,” katanya lagi.

Beliau menambah, kerjasama strategik akan diperkukuhkan melalui Memorandum Persefahaman dengan institusi pengajian tinggi dan persatuan-persatuan sukan.

“Sebuah temasya sukan peringkat negeri, iaitu Pra-SUKMA atau Temasya Sukan Perlis, akan diadakan untuk melibatkan lebih banyak persatuan dalam pembangunan sukan negeri,” katanya.

Bagi memastikan kelangsungan pembangunan sukan, pihaknya akan memperluas Tabung Sukan Negeri dengan menggalakkan penyertaan sektor swasta.

“Pelaburan dalam sukan amat tinggi, khususnya dengan keperluan teknologi moden.

“Dengan pengecualian cukai di bawah Subseksyen 44(6), Akta Cukai Pendapatan 1967, pihak swasta digalakkan untuk menyumbang,” jelas Mohd Ridzuan. – HARAKAHDAILY 12/12/2024

- Advertisement -