Nelayan masih ketinggalan kerana dua masalah utama

Shaharizukirnain Abd. Kadir
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Shaharizukirnain Abd. Kadir (PN-Setiu), menyuarakan kebimbangan terhadap cabaran yang dihadapi komuniti nelayan di Setiu khususnya dalam melibatkan diri dalam industri hiliran. 

- Advertisement -

Menurut beliau, kebanyakan nelayan hari ini masih ketinggalan kerana menghadapi dua masalah utama, iaitu kekurangan kemahiran dan kekangan kewangan.

“Apakah usaha yang dibuat oleh kementerian untuk melatih dan menyediakan akses kepada teknologi dan kemahiran kepada mereka bagi menyokong pengeluaran produk,” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika mengemuka soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai status projek pembangunan jeti pendaratan ikan di kawasan Merang, Setiu.

“Bagaimana status berkait dengan kawasan saya, status jeti pendaratan ikan di kawasan Merang, Setiu yang pernah dulu digembar-gemburkan akan dibina,” katanya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya telah menjalankan pelbagai inisiatif, termasuk menubuhkan kluster yang diuruskan oleh persatuan nelayan.

Mengenai projek jeti di Setiu, Mohamad Sabu memaklumkan bahawa pembinaan jeti pendaratan ikan di Merang, dijangka dilaksanakan pada tahun 2025, tertakluk kepada kelulusan tapak oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). – HARAKAHDAILY 12/12/2024

- Advertisement -