Fakhrul cadang Perlis terlibat pelancongan kesihatan

Fakhrul Anwar Ismail
- Advertisement -

KANGAR: Fakhrul Anwar Ismail (PN-Bintong) mencadangkan agar Perlis mempertimbangkan potensi menjadi destinasi pelancongan kesihatan, memanfaatkan kelebihan sistem penjagaan kesihatan Malaysia yang diiktiraf bertaraf dunia.

- Advertisement -

“Malaysia mempunyai sistem penjagaan kesihatan bertaraf dunia yang mendapat akreditasi antarabangsa dalam aspek kepakaran para doktornya serta kemudahan dan kecanggihan peralatan yang disediakan.

“Apakah kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk menjadikan Perlis sebagai destinasi pelancongan kesihatan yang menawarkan rawatan perubatan berkualiti dengan kos yang lebih kompetitif?

“Sekiranya ada, apakah persediaan serta sokongan ke arah merealisasikan hasrat tersebut?” katanya semasa sesi Soalan-soalan Lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Negeri, Marzita Mansor bagaimanapun menjelaskan, Perlis masih belum bersedia melaksanakan pelancongan kesihatan kerana prasarana yang ada belum mencukupi.

“Adalah penting untuk kita menyediakan infrastruktur yang mencukupi sebelum mengisytiharkan pelancongan kesihatan sebagai aset ekonomi negeri,” katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri menekankan kepentingan perancangan teliti dan penyediaan kemudahan yang mencukupi bagi memastikan sektor ini dapat menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negeri apabila dilaksanakan kelak. – HARAKAHDAILY 12/12/2024

- Advertisement -