
KUALA LUMPUR: Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan kewajipan pemantauan yang lebih ketat terhadap industri perlombongan pasir dan bauksit, berikutan kejadian pencemaran yang berlaku di Bukit Goh.
Beliau meluahkan rasa kecewa terhadap kejadian pencemaran yang berlaku itu yang mana memberi kesan besar kepada alam sekitar dan kesihatan rakyat.
“Kita amat dukacita dengan pencemaran yang berlaku, terutamanya tragedi yang melanda Bukit Goh. Pencemaran yang semakin kritikal sedangkan kerajaan telah melantik pakar scieno dengan kos sebanyak RM486 juta selama 15 tahun untuk mengawasi keadaan alam sekitar kita.
“Ini bermakna sekitar RM60 juta setahun, atau RM5 juta sebulan, dengan anggaran RM167,000 sehari untuk memantau kualiti udara, air dan elemen alam sekitar yang lain.
“Persoalannya, sejauh manakah keberkesanan Program Pemantauan Kualiti Alam Sekitar (EQMP) dalam membuat pemantauan khususnya secara langsung (real-time) dan dapat memberikan notis awal kepada rakyat kita atau masyarakat daripada kesan pencemaran alam sekitar yang mereka hadapi?” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika mengemuka soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihak kerajaan bercadang untuk meningkatkan kawal selia terhadap proses Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan meningkatkan ketelusan proses tersebut agar menjadi lebih komprehensif dan selaras dengan keperluan rakyat pada masa kini.
Mengulas berkaitan isu EQMP yang dibangkitkan, Nazmi berkata, tujuan program itu adalah untuk memantau status kualiti udara, air sungai dan air marin serta menyediakan data yang menjadi petunjuk tahap kesihatan dan kesejahteraan penduduk setempat. – HARAKAHDAILY 12/12/2024











