Jadi mangsa banjir juga, tetapi dedikasi membantu

YB Rohani bersama team sukarelawan dan NGO yang menyumbang
- Advertisement -

KOTA BHARU: Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Rohani Ibrahim merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat membantu mangsa banjir di Kelantan.

- Advertisement -

Beliau memuji dedikasi petugas yang terdiri daripada agensi kebajikan, keselamatan, sukarelawan, NGO, NGI, serta individu dan pempengaruh yang memberikan sumbangan dalam bentuk tenaga, barang keperluan, serta kewangan.

“Sumbangan ini sangat membantu memastikan kelangsungan operasi PPS,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Mas.

Beliau turut mengakui bahawa ramai petugas yang terlibat juga adalah mangsa bencana, namun begitu, mereka tetap menjalankan tugas dengan penuh komitmen dan dedikasi.

Menurutnya, walaupun ada PPS ‘ad-hoc’ yang terpaksa dibuka secara mendesak, kerjasama semua pihak telah memastikan urusan di PPS dapat diuruskan dengan baik.

Dalam kenyataan medianya, beliau memaklumkan bahawa sebanyak 316 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah diaktifkan sejak gelombang pertama banjir melanda Kelantan pada 22 November 2024.

PPS tersebut telah menempatkan seramai 114,730 mangsa yang mewakili 35,444 keluarga dengan keadaan kali ini melibatkan kawasan yang tidak pernah dinaiki air dalam sejarah banjir negeri ini.

“Hujan lebat yang berterusan dan pertembungan dengan fenomena air pasang besar memberi kesan yang serius kepada sembilan daerah,” ujarnya.

Dengan cuaca yang semakin baik dalam dua hari kebelakangan ini, jumlah PPS yang masih beroperasi telah berkurang kepada 93 di empat daerah.

Walaupun begitu, keadaan air yang masih belum surut sepenuhnya memaksa penduduk terus berada di PPS sementara mereka membersihkan kediaman masing-masing.

Beliau turut menegaskan kepada semua pihak agar tidak menyebarkan berita tidak sahih yang boleh menambah kesulitan rakyat.

“Tugas menguruskan PPS bukan mudah, dan hanya mereka yang berada di lapangan memahami cabarannya,” tambahnya.

Rohani juga mengingatkan semua pihak untuk menjaga keselamatan diri dan keluarga serta terus berdoa agar keadaan kembali pulih sepenuhnya. – HARAKAHDAILY 5/12/2024

- Advertisement -