
IPOH: Rahim Ismail (PN-Changkat Jering) meminta penjelasan mengenai destinasi pelancongan paling popular di Perak serta statistik jumlah pelawat domestik dan antarabangsa bagi suku pertama tahun ini.
Perkara itu dikemukakannya ketika soalan tambahan pada sesi Soalan-soalan Lisan di Mesyuarat Ketiga Tahun Kedua Dewan Negeri Ke-15 Perak di Bangunan Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Beliau turut menekankan persediaan Perak untuk menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026, merujuk kepada inisiatif seperti My Tourist Pass yang dilancarkan di peringkat Pusat.
“Adakah Perak merancang apa-apa inisiatif serupa untuk mempromosikan negeri ini?” soal beliau.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Loh Sze Yee menjelaskan bahawa data rasmi pelawat bagi suku pertama hanya akan dikeluarkan pada penghujung suku pertama tahun hadapan.
Namun, beliau menyatakan Kerajaan Negeri telah menerima tambahan peruntukan bagi kerja-kerja baik pulih dan menaik taraf ikon pelancongan yang usang.
“Ini adalah salah satu persiapan utama Perak untuk menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Pada soalan asal Rahim menyoal berkaitan inisiatif khusus yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk mempromosikan pelancongan mampu dimiliki oleh rakyat tempatan. – HARAKAHDAILY 5/12/2024











