Tangani pemerdagangan manusia dengan lebih serius

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) memuji langkah kerajaan menubuhkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang diketuai oleh seorang pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

- Advertisement -

Namun, beliau menggesa penjelasan berkenaan kekuatan sebenar anggota agensi tersebut, yang mana pada bulan lepas dilaporkan hanya berjumlah 78 orang, sedangkan sasaran asal adalah 13,420 orang. 

“Kalau 78 orang bagaimana kekuatan asetnya dan di pintu masuk negara yang mana yang dijaga oleh AKPS ini selain daripada KLIA, CIQ Johor Bahru, Rantau Panjang, Tanjung Pelepas dan Bukit Kayu Hitam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemuka soalan tambahan pada sesi pertanyaan jawab lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Takiyuddin turut menyuarakan kebimbangan mengenai isu pemerdagangan manusia, khususnya melibatkan rakyat Malaysia yang diseludup atau dibawa keluar negara.

Beliau memberi contoh kes seorang wanita rakyat Malaysia yang dipaksa menjadi buruh paksa di Nepal selepas dibawa oleh suaminya yang merupakan warganegara Nepal.

“Dipaksa menjadi buruh paksa kemudian dituduh di mahkamah di Nepal kerana overstay beliau masuk penjara 10 tahun. Baru saja dibawa balik ke Malaysia.

“Saya nak tahu sejauh manakah keseriusan atau bilangan kalau boleh tahu penerbangan rakyat Malaysia ke luar negara,” katanya.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan telah menubuhkan AKPS sebagai agensi kawalan utama di pintu-pintu sempadan negara dan pelabuhan.

Beliau turut memaklumkan bahawa AKPS akan beroperasi di 22 pintu masuk bermula 1 Februari 2025, Rantau Panjang menjadi lokasi rintis pada 1 Januari 2025.

Menurutnya, operasi penuh di 114 pintu masuk dijangka akan dimulakan pada Januari 2026. 

Beliau menjanjikan maklumat lanjut berkenaan angka tangkapan dan kes berkaitan akan diberikan secara bertulis. – HARAKAHDAILY 5/11/2024

- Advertisement -