
KUALA LUMPUR: Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai), mencadangkan agar Malaysia mengambil langkah menyertai inisiatif global seperti Konvensyen Budapest mengenai jenayah siber bagi memperkukuh undang-undang keselamatan siber negara.
Cadangan itu dikemukakan bagi menangani isu pancingan data dan ancaman siber yang semakin kompleks, terutamanya yang melibatkan jaringan konspirasi antarabangsa.
“Kejadian pancingan data ini sering melibatkan jaringan konspirasi antarabangsa. Maka sudah tentulah kita memerlukan kepada penglibatan kerjasama yang lebih luas dalam soal penguat kuasa firma-firma antarabangsa dan juga firma firma teknologi untuk menangani perkara ini supaya lebih efisien,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Idris turut mempersoalkan langkah kerajaan dalam memastikan firma-firma terkemuka di Malaysia dilengkapi perlindungan teknologi terkini untuk menyekat insiden pancingan data.
“Persoalan saya ialah, apakah respon pihak kerajaan terhadap cadangan supaya Malaysia menyertai satu inisiatif global seperti Budapest konvensyen on siber crime untuk memperkukuhkan atau memperkuatkan undang-undang keselamatan siber negara kita.
“Dan bagaimanakah pula kerajaan memastikan firma-firma terkemuka di Malaysia pada hari ini dilengkapi dengan perlindungan teknologi supaya dapat menyekat perkara-perkara pancingan data ini tidak berlaku di dalam negara kita,” tanya beliau.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo dalam jawapannya berkata, kerajaan menekankan kepentingan kerjasama serantau dan global untuk memperkukuh tahap keselamatan, termasuk keselamatan siber, dengan mengambil kira ancaman rentas sempadan yang boleh memberi kesan kepada Malaysia.
Usaha itu menurutnya melibatkan perbincangan bersama negara-negara ASEAN dan global untuk berkongsi pengalaman, meningkatkan standard keselamatan, dan menyiasat ancaman dengan lebih berkesan.
Beliau berkata, Malaysia juga komited memastikan tahap keselamatan sibernya setaraf dengan piawaian antarabangsa melalui pelbagai langkah dan inisiatif. – HARAKAHDAILY 5/12/2024











