
PASIR PUTEH: Lebih 2,000 sangkar projek kerapu hibrid terbesar di Kelantan terjejas di mana kira-kira 100,000 ekor ikan premium mati berikutan kawasan ternakan dilimpahi banjir.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, 38 penternak ikan kerapu hibrid di Laguna Semerak mengalami kerugian hampir RM2 juta.
“Punca ikan mati kerana air laut tidak dapat dialirkan secukupnya ke laguna disebabkan muka kuala tertutup apabila berlaku air pasang besar di musim tengkujuh.
“Sebelum ini dibina tebatan pemecah ombak yang boleh menghalang laguna Semerak tertutup dengan pasir,” katanya ketika dihubungi di sini.
Semalam beliau melawat lokasi ternakan di Laguna Semerak. Hadir sama ADUN Semerak, Nor Sham Sulaiman; Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Dr Erniyta Osman dan Ketua Persatuan Penternak Ikan Laguna Semerak (PPILS), Mustafa Bakar. (Foto atas)
Beliau juga berkata, pemasangan sistem saluran paip berjaya meningkatkan aliran air laut memberi hasil positif dalam jangka masa pendek.
Kata beliau kemasukan air laut membantu memulihkan ekosistem ternakan ikan yang terjejas.
Menurutnya juga sekiranya usaha tersebut tidak dilaksana kerugian dijangka meningkat kepada RM20 juta.
Tuan Mohd Saripudin juga berkata, kerajaan negeri membawa isu tersebut ke peringkat kementerian sebagai langkah penyelesaian kekal.
“Dua projek dicadangkan iaitu mendalamkan Kuala Semerak sebagai lokasi penternakan sepanjang 5 kilometer melibatkan kos sebanyak RM12 juta.
“Kedua pembinaan tembok gabion untuk mengelakkan muka kuala daripada sentiasa tertimbus setiap kali musim tengkujuh,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/12/2024











