
KOTA BHARU: Sebanyak 4,894 kes penyakit berjangkit telah dilaporkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri Kelantan sehingga 2 Disember 2024.
Daripada jumlah tersebut, jangkitan saluran pernafasan mencatatkan angka tertinggi dengan 2,923 kes, diikuti jangkitan kulit sebanyak 1,367 kes.
Selain itu, penyakit lain yang dilaporkan termasuk acute gastroenteritis (AGE) sebanyak 116 kes, conjunctivitis 99 kes, dan viral fever 376 kes.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah semua kes telah menerima rawatan dari pasukan perubatan yang bertugas di PPS.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak penularan penyakit bawaan air.
“Insya Allah kerajaan negeri terus memantau keadaan kesihatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Terima kasih yang tidak terhingga pada pasukan keselamatan dan pasukan kesihatan yang turut turun padang memastikan kesihatan mangsa-mangsa banjir terjaga,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 5/12/2024











