
KUALA LUMPUR: Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok), menyeru kerajaan untuk memberikan perhatian serius terhadap pelaksanaan projek-projek tebatan banjir yang tertangguh, terutamanya di kawasan berisiko tinggi seperti di Pantai Timur.
Menurutnya, perbelanjaan besar yang dilaburkan dalam projek mitigasi banjir perlu disertai dengan perancangan strategik dan teknologi terkini untuk memastikan impak yang optimum dalam mengurangkan risiko bencana banjir.
“Adakah pihak kerajaan menerusi PETRA telah mengenal pasti senarai keutamaan projek-projek RTB (Rancangan Tebatan Banjir) untuk disegerakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) terutama kawasan yang terdedah kepada risiko banjir terutamanya kawasan Pantai Timur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohd Nazri turut mencadangkan agar kerajaan mencontohi negara seperti China dan Belanda dalam mengintegrasikan teknologi moden untuk pengurusan banjir.
Beliau menyarankan penggunaan sistem model ramalan banjir canggih seperti ‘NoFloods’, yang menggunakan teknologi Internet of Things (IoT), kecerdasan buatan (AI), dan data raya.
“Sistem ini merangkumi penggunaan dron, sensor pintar, dan analisis data berkomputer untuk kawalan serta pemantauan bencana. Teknologi ini terbukti berjaya di negara-negara maju dan mungkin boleh diadaptasi di negara kita,” katanya.
Selain itu, beliau menekankan keperluan untuk membina struktur fizikal seperti tebing tinggi di kawasan pesisir pantai bagi mengatasi masalah banjir.
Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air, Dato’ Sri Fadillah Yusof dalam jawapannya berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai kajian dan perancangan tebatan banjir bernilai RM392 bilion, termasuk projek empangan, saliran bandar, dan sumber air, yang sedang berjalan atau dalam proses tender di beberapa negeri, terutama kawasan kritikal seperti Kelantan dan Pantai Timur.
Menurutnya, penggunaan teknologi ramalan cuaca dan kerjasama dengan Jabatan Meteorologi membolehkan kerajaan meramalkan kemungkinan banjir lebih awal dan memberi amaran kepada agensi serta orang awam.
Usaha itu menurutnya, dilaksanakan melalui pendekatan menyeluruh dengan penambahbaikan teknologi secara berterusan, bergantung kepada peruntukan yang diterima. – HARAKAHDAILY 5/12/2024











